Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) menyaksikan satu deklarasi dimeterai dalam usaha memerangi keganasan di kawasan Pesisir Lautan Hindi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, deklarasi di bawah Pelan Tindakan IORA 2017-2021 itu menjadi titik tolak dalam menumpukan usaha negara terlibat dalam merealisasikan hasil yang seimbang.

"Penggunaan perisytiharan ini jelas menunjukkan kesungguhan negara serantau dalam memerangi ancaman keganasan secara bersama.

"Malaysia percaya bahawa kesederhanaan adalah pendekatan paling ideal dalam membendung sebarang bentuk ekstremisme termasuk keganasan.

"Ia juga boleh digunakan untuk merapatkan perbezaan serta menyelesaikan pertikaian secara terhormat dengan menekankan prinsip toleransi dan keterangkuman," katanya ketika berucap dalam mesyuarat menteri-menteri IORA pada Isnin.

Sidang Kemuncak ini dianjurkan sempena ulang tahun IORA yang ke-20 sejak penubuhannya secara rasmi pada tahun 1997.

Para pemimpin akan membincangkan serta menilai kemajuan dan pencapaian kerjasama IORA sepanjang tempoh dua dekad yang lalu, di samping melakar hala tuju kerjasama serantau ini untuk dekad yang akan datang.

Turut hadir, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak serta isteri yang mencerminkan komitmen dan sokongan berterusan Malaysia terhadap IORA, selain komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan kerjasama serantau dengan negara-negara anggota serta Rakan Dialog IORA bagi membina rantau Lautan Hindi yang aman, stabil dan makmur.

IORA kini mempunyai 21 negara anggota dari rantau pesisir Lautan Hindi serta 7 negara Rakan Dialog, iaitu, China, Mesir, Perancis, Jerman, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.