Malaysia, sebagai anggota komuniti antarabangsa bertanggungjawab, akan terus memainkan peranan menyumbang usaha menangani penderitaan yang dihadapi golongan minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia turut menggalakkan anggota komuniti antarabangsa untuk menyumbang usaha bagi mengurangkan penderitaan yang ditanggung kaum Rohingya itu.

"Malaysia dan negara lain yang berkongsi kebimbangan mengenai isu Rohingya telah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada saudara Islam Rohingya," katanya dalam ucapan sempena makan malam Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 di sini malam semalam.

Antara bantuan yang diberikan Malaysia adalah sumbangan RM10 juta untuk usaha kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di Rakhine, dan misi kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar' pada Februari tahun ini, katanya.

Anifah percaya usaha komuniti antarabangsa mendesak dan menggalakkan kerajaan Myanmar untuk mengurangkan penderitaan masyarakat Rohingya sudah membuahkan hasil.

"Dilaporkan tentera Myanmar telah menghentikan operasi keselamatan mereka di Rakhine dan menghentikan tindakan keras empat bulan mereka ke atas golongan Islam Rohingya," katanya.

Anifah berkata Malaysia dari dulu menekankan aspek kemanusiaan, kebimbangan terhadap penderitaan Rohingya yang timbul daripada tindakan nekad ramai daripada mereka yang sanggup berdepan bahaya untuk memasuki Malaysia.

Katanya pergerakan pelarian ke Malaysia kekal menjadi isu yang harus ditangani.

Pada Feb lepas, seramai 149,496 daripada mereka didaftarkan di Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysiatermasuk 56,458 kaum Rohingya dan bakinya pula warga Myanmar.

"Walaupun bukan anggota Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia secara konsisten memberikan bantuan kepada Rohingya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan," katanya.

Beliau berkata pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada 24 Sept tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil peluang membangkitkan masalah berkaitan penempatan semula pelarian sedia ada di Malaysia ke negara ketiga.

"Penundaan penempatan semula yang berpanjangan untuk pelarian akan menyebabkan masalah dari segi ekonomi, sosial, politik dan keselamatan kepada negara tuan rumah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia menggesa UNHCR dan pihak lain yang terbabit dengan Konvensyen Pelarian 1951 dan protokol berkaitan untuk memberi perhatian serius dan mengambil langkah segera.

Persidangan itu, yang disertai 180 delegasi dari ASEAN dan negara Islam akan menganalisis isu pelarian dan kesannya kepada geopolitik dunia, selain memberi cadangan penyelesaian strategik jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan isu pelarian Rohingya.

Ia dianjurkan bersama oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia, Yayasan Amal Malaysia, Persekutuan Antarabangsa Bagi Bantuan dan Pembangunan, serta Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa.
-- BERNAMA