Krisis politik Maldives memuncak selepas kerajaan negara itu mengisytiharkan darurat selama 15 hari.

Senario politik di negara kepulauan Lautan Hindi itu jadi perhatian susulan tindakan Presiden Yameen Abdul Gayoom yang menolak keputusan Mahkamah Agung yang mengarahkan pembebasan tahanan politik yang dipenjarakan.

Tindakan Yameen yang enggan mematuhi keputusan berkenaan mengundang bantahan oleh penyokong pembangkang yang membanjiri jalan sekitar Male. Ia bertukar tegang selepas mereka betemmpur dengan polis anti rusuhan.

Pihak tentera pula dikerahkan mengawal bangunan parlimen bagi menghalang ahli parlimen daripada bermesyuarat.

Antara tahanan yang tersenarai untuk dibebaskan termasuk pemimpin pembangkang yang juga bekas presiden negara itu, Mohammed Nasheed.

Nasheed yang kini hidup dalam buangan di Britain sejak 2016 selepas menerima rawatan di negara itu dalam reaksinya meminta rakyat untuk menolak arahan Yameen yang disifatkannya sebagai melanggar undang-undang.

Mahkamah turut mengarahkan kelayakan 12 ahli parlimen yang dilucutkan sebelum ini dikembalikan semula.

Sekiranya arahan itu dipatuhi bermakna Parti Progresif pimpinan Yameen akan hilang majoriti di parlimen sekaligus menyaksikan badan perundangan menjadi seteru kepada presiden.

Tindakan Yameen turut mengundang reaksi daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat yang mendesak beliau untuk patuh kepada arahan mahkamah.