Bekas perdana menteri Thailand dan penasihat istana, Jeneral Prem Tinsulanonda meninggal dunia hari ini pada usia 98 tahun.

Media tempatan melaporkan negarawan itu mengalami kegagalan jantung pada kira-kira 9.10 pagi (waktu tempatan) di Phramongkutklao Hospital, Bangkok.

Bagaimanapun, sebab sebenar kematian belum diumumkan lagi. Biro Bijaya Diraja dijangka mengumumkannya dalam masa terdekat.

Prem yang berkhidmat dengan Raja Maha Vajiralongkorn dan mendiang bapanya Raja Bhumibol Adulyadej selaku Pengerusi Majlis Privy sejak 1998. Beliau dikenali sebagai seorang penasihat cukup dipercayai kepada Raja Bhumibol.

Beliau juga berkhidmat sebagai pemangku raja sejurus selepas Raja Bhumibol meninggal dunia pada 13 Oktober, 2016 sehingga perisytiharan Vajiralongkorn sebagai Raja pada Disember 1 tahun yang sama.

Prem adalah perdana menteri ke-16 Thailand, berkhidmat bagi tiga penggal dari 1980 hingga 1988.

Dilahirkan pada 1920 di Songkhla, Thailand Selatan, beliau belajar di Vajiravudh Secondary School di Songkhla dan Suankularb Wittayalai School di Bangkok.

Kemudian beliau menyertai Akademi Tentera Diraja Thai (sekarang dikenali sebagai Chulachomklao Royal Military Academy) pada 1941.

Beliau menyertai politik pada 1959 sebagai anggota Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan.

Kemudian berkhidmat sebagai senator pada 1968 hingga 1971 dan anggota parlimen pada 1972 hingga 1973, dan kemudian dilantik timbalan menteri dalam negeri dan menteri pertahanan pada 1978 hingga 1979 sebelum menjadi perdana menteri.

Beliau dikatakan mendorong rampasan kuasa 2006 yang menggulingkan perdana menteri Thaksin Shinwatra.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata Prem adalah seorang pemimpin terbilang yang mendedikasi hidupnya kepada negara.

Menurut Timbalan Jurucakap Kerajaan, Lt Jen Werachon Sukhondapatipak, Prayuth cukup bersedih dengan kepergian Prem pagi ini.

“Perdana menteri berkata Prem seorang negarawan ulung, beliau merupakan contoh pimpinan Thai yang cintakan negara, jujur dan sentiasa mengambil kira kepentingan awam.

“Beliau menunjukkan teladan baik kepada generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Jen Prem kekal membujang, dan pada satu ketika pernah mengisytiharkan beliau telah ‘dijodohkan’ dengan tentera.

Prem kelihatan kurus kering semasa pertabalan Raja Vajiralongkorn pada 4 Mei.

Beliau menyelia majlis perkahwinan Raja Vajiralongkorn dengan Ratu Suthida tiga hari sebelum upacara pertabalan.

Terdahulu, parlimen berdiam diri selama seminit untuk Prem.

Butir-butir pengebumian belum diumumkan.

-- BERNAMA