SEORANG pesara di Rusia yang didakwa sebagai manusia paling tua meninggal dunia pada usia 123 tahun, lapor agensi berita negara itu pada Jumaat lalu (10 Mei).

Bapa kepada lapan orang anak, Appaz Iliev, dari Ingushetia ini dipercayai dilahirkan ketika pemerintahan Tsar, dan bertugas di medan Perang Dunia 1 sebelum menghabiskan sisa hidup sebagai pengembala.

Namun begitu, oleh kerana rekod kelahirannya hilang, usia Appaz Iliev yang sebenar tidak dapat disahkan, lapor Daily Mail.

Rahsia Iliev hidup lama dipercayai disumbang oleh gaya hidupnya yang santai termasuk tidur selama 11 jam, dari pukul 7 malam sehingga pukul 6 pagi.

Gelaran manusia paling tua kini milik warga Jepun, Kane Tanaka yang kini berusia 116 tahun.