Mara Patani menggesa kerajaan Thai agar menyiasat dengan teliti insiden di Daerah Ruso, Narathiwat, baru-baru ini yang mengakibatkan dua remaja lelaki ditembak mati.

Menurut jurucakapnya Dr Abu Hafez al-Hakim, terdapat laporan yang bercanggah daripada pihak berkuasa, media dan saksi tunggal yang terselamat berhubung hakikat sebenar tragedi itu yang membawa kepada kematian remaja berkenaan.

"MARA Patani menggesa pihak berkuasa Thai menyiasat dengan teliti insiden itu dari segenap sudut dan menghebahkan kepada umum hasil siasatan itu untuk mengelak salah tanggapan, kekeliruan dan ketidakpercayaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kumpulan itu mengucapkan takziah dan meminta keluarga mangsa supaya bersabar.

Pada 1.30 tengah hari (waktu tempatan) 29 Mac, anggota keselamatan Thai menembak mati dua lelaki, Aseng Useng, 30, dan Ismail Hama, 28, dalam insiden yang didakwa sebagai berbalas tembakan di Kampung Tebing Luluk, Mukim Khok Setor, Daerah Ruso.

Menurut laporan media yang memetik Ketua Polis Daerah Ruso Kol Reangsak Buadeang, kedua-dua lelaki itu dipercayai anggota kumpulan militan, Runda Kumpulan Kecil (RKK), suatu dakwaan yang disangkal oleh anggota keluarga dan penduduk setempat.

Berikutan insiden berbalas tembakan itu, para penyiasat menjumpai sepucuk pistol automatik dan rifel M-16 bersebelahan mayat mangsa serta sebuah trak pikap, katanya.

Insiden itu, kata Abu Hafez, mengingatkan masyarakat tentang pembunuhan beramai-ramai Thung Yang Daeng dua tahun lepas, yang menyaksikan empat lelaki muda mati ditembak oleh pasukan keselamatan.

MARA Patani adalah badan induk yang mewakili beberapa kumpulan di selatan Thai, yang ketika ini terbabit dalam rundingan damai dengan kerajaan Thai, dan kerajaan Malaysia adalah pemudahcara.

Bulan lepas, kedua-dua pihak mencapai kejayaan cemerlang apabila mereka bersetuju menubuhkan Zon Keselamatan di selatan Thai, sungguhpun lokasi zon yang tepat masih dalam perbincangan. -- Bernama