Pihak berkuasa Monetari Singapura (MAS) pada Selasa memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan laman web palsu yang mengaitkan pelaburan mata wang kripto dengan Kerajaan Singapura.

MAS dalam satu kenyataan berkata bahawa laman-laman web palsu ini mendakwa bahawa Singapura akan menggunakan mata wang kripto sebagai syiling rasmi.

"Mereka juga mendakwa bahawa sebuah firma sudah dilantik secara eksklusif untuk memasarkan mata wang kripto ini," katanya.

Laman-laman web ini meminta pembaca untuk memberi maklumat peribadi dan kewangan mereka bagi urusan pembelian mata wang kripto.

"Ini adalah satu penipuan dan orang ramai harus mengelak daripada mendedahkan sebarang maklumat kewangan atau peribadi kepada aplikasi yang berkaitan dengan laman web seperti itu," katanya.

Bank pusat Singapura itu juga menasihatkan bahawa pelaburan dalam mata wang kripto atau token digital adalah sangat berisiko.

MAS dan Jabatan Hal Ehwal Komersial telah mengeluarkan beberapa nasihat sejak Disember 2017, bagi memberi amaran kepada orang ramai mengenai risiko-risiko pelaburan sedemikian.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa sesuatu tawaran pelaburan itu mungkin palsu atau disalah gunakan untuk aktiviti-aktiviti lain yang menyalahi undang-undang, perlu melaporkan hal tersebut kepada polis, katanya.

-- BERNAMA