SEORANG hakim mahkamah tinggi di Amerika Syarikat berdepan dakwan salah laku kerana bertanyakan kepada seorang wanita sama ada dia cuba 'merapatkan kakinya' semasa dirogol.

Hakim Mahkamah Tinggi New Jersey, John Russo, membuat kenyataan itu dalam satu sesi pendengaran dua tahun lalu, lapor portal berita The Independent.

Wanita itu dilaporkan sedang mendapatkan perintah larangan menghampiri terhadap seorang lelaki yang didakwa telah memaksanya melakukan hubungan seks.

"Adakah kamu tahu bagaimana hendak menghalang seseorang dari mengadakan hubungan seks dengan kamu?" Soal hakim tersebut seperti yang dipetik dalam transkrip.

Aduan 'salah laku terhadap mangsa' merupakan satu daripada empat dakwaan yang dikenakan terhadap Russo oleh Jawatankuasa Penasihat Mahkamah Agung mengenai Perilaku Kehakiman.

"Hakim Russo mengharapkan agar pendengaran awam diadakan di mana dia boleh menjawab pertuduhan terhadapnya.

"Kami menghormati proses itu serta jawatankuasa penasihat mengenai tingkah laku kehakiman, dan oleh itu tidak akan mengulas lanjut," kata peguamnya, David Corrigan.

Corrigan berkata anak guamnya itu mempunyai 20 hari untuk memberi respons terhadap aduan itu, namun sesi pendengaran tidak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat.

Russo telah digantung daripada tugas kehakiman sejak April lalu selepas berdepan beberapa siri pertuduhan berasingan.

Berikutan pendengaran tersebut, jawatankuasa itu kemudiannya akan menasihati Mahkamah Agung negeri mengenai apa tindakan tatatertib awam harus diambil, jika ada.

Menurut Asbury Park Press, Russo telah dihalang daripada tugas kehakimannya sejak April tahun lepas melalui siri tuduhan berasingan.

Russo juga dilaporkan enggan mengambil ujian penilaian kesihatan mental seperti yang diperintahkan oleh hakim Marlene Lynch Ford.