Berita  | Dunia

Masjid baharu sumbangan rakyat Malaysia beri semangat sambut Aidifitri di Lombok

Masjid baharu sumbangan rakyat Malaysia beri semangat sambut Aidifitri di Lombok
Kerja-kerja gotong royong masyarakat Kampung Dusun Dasan Baru di Lombok Timur untuk pembinaan masjid baru, Masjid Ar-Rahmah Nurul Iman. - Foto BERNAMA
LOMBOK: Sambutan Aidilfitri pastinya lebih bermakna buat masyarakat kampung Dusun Dasan Baru di Lombok Timur di sini apabila masjid baharu yang sedang dibina bakal siap dua hari sebelum Hari Lebaran.

Masjid baharu tersebut dibina di atas tapak masjid lama yang musnah akibat gempa bumi pada Julai tahun lepas.

Ketua Kampung Suherman Urun ketika menzahirkan terima kasih atas sumbangan masjid yang diterima masyarakat, tidak dapat menahan sebak kerana memikirkan kesusahan yang dialami penduduk kampung itu selepas tragedi gempa bumi berkenaan.

"Dengan adanya sumbangan ini, semangat meneruskan hidup (selepas gempa) kembali.

"Kita harus yakin kita akan dapat bangkit semula dan meneruskan kehidupan pada masa hadapan," katanya ketika ditemui selepas perasmian Masjid Ar Rahmah Nurul Iman, di sini semalam.
Masjid yang mampu menampung kira-kira 100 jemaah pada satu-satu masa itu, merupakan sumbangan rakyat Malaysia hasil usahasama Pasaraya Econsave, pertubuhan bukan kerajaan MyCARE, dengan kerjasama PKPU Human Initiative, Indonesia.

BACA: Gempa Lombok: 17 mangsa rakyat Malaysia selamat tiba

BACA: Gempa Lombok: Angka maut meningkat kepada empat orang


Pengurus Besar Pasaraya Econsave Wilayah Selatan Mas Imran Adam berkata pembinaan masjid kitu membabitkan kos RM100,000.

"Masjid yang mula dibina seminggu lepas, dijangka siap dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Kita harap masjid ini bukan sahaja akan menjadi tempat ibadah malah pusat aktiviti masyarakat di sini memandangkan kampung mereka agak jauh ke dalam," katanya.

Turut disumbangkan adalah seekor lembu dan seekor kambing bagi majlis berbuka puasa untuk kira-kira 300 hingga 400 orang.

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian misi MyRamadan Gempa Bumi Lombok bermula Jumaat melibatkan pelbagai pihak termasuk pasaraya Econsave dan MyCare serta beberapa NGO lain.

Seramai 14 sukarelawan dan rakan media terlibat dalam misi itu dengan menyampaikan beberapa sumbangan kepada masyarakat di sekitar Lombok bagi meringankan beban mereka terutama ketika Ramadan.

-- BERNAMA




Tag: masjid, Lombok, Aidilfitri, gempa bumi, Masjid Ar Rahmah Nurul Iman


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.