Sepasukan polis telah digegaskan untuk mengawal keadaan di sebuah kampung di Myanmar berikutan meningkatnya ketegangan agama selepas kumpulan ektremis Buddha memusnahkan sebuah masjid, lapor pihak berkuasa pada Sabtu.

Insiden itu adalah yang terbaru dalam siri keganasan anti-Islam di negara itu, yang banyak kali berlaku kejadian seumpamanya sejak 2012, lebih-lebih lagi dengan kebangkitan nasionalis Buddha dalam pentadbiran Aung San Suu Kyi tersebut.

Minggu ini, 200 anggota kumpulan ekstremis Buddha telah menceroboh kampung orang Islam di wilayah Bago berikutan pertelingkahan mengenai pembinaan sekolah agama Islam.

Ketua polis tempatan, Own Lwin, berkata suasana masih tegang pada Sabtu dengan 100 anggota polis berkawal untuk memastikan keselamatan.

“Malam semalam, 50 polis mengawal kampung itu dalam keadaan waspada kerana tersebar khabar angin tentang kekecohan. Sekarang kami telah menambah kekuatan anggota sehingga 100 orang,” ujarnya kepada AFP.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat berkaitan kerosakan masjid berkenaan.

Setiausaha masjid, Win Shwe atau Ali Ahmed, memberitahu penduduk Islam di situ bimbang aspek keselamatan dan merancang untuk berpindah ke bandar terekat sehingga ketegangan itu reda.

Sentimen anti-Islam telah meluas ke seluruh Myanmar sejak tahun-tahun kebelakangan ini, dengan keganasan paling teruk berlaku di wilayah tengah negara itu dan di negeri Rakhine yang banyak dihuni minoriti Muslim Rohingya.

Sami ekstremis dan golongan nasionalis Buddha tidak pernah mengiktiraf kaum Rohingya sebaliknya menganggap mereka pelarian dari Bangladesh yang tidak perlu dikasihani.

Suu Kyi, yang selama ini menjuarai itu hak asasi dan demokrasi, telah dikritik kerana tidak mengambil tindakan terhadap nasib Rohingya serta penganiayaan yang mereka alami.