Nasib masyarakat Islam etnik Uighur dikhabarkan semakin terhimpit.

Terbaharu, panel Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan etnik minoriti itu kini dikurung dan dipaksa tinggal di dalam kem politik bagi proses indoktrinasi di barat wilayah autonomi Xinjiang.

Menurut Ahli Jawatankuasa PBB bagi Penghapusan dan Diskriminasi Kaum, Gay McDougall, etnik terbabit telah ditempatkan dalam kem-kem pengasingan besar-besaran yang dirahsiakan.

"Kami mengambil serius perkara ini berdasarkan beberapa laporan sahih yang kami terima bahawa terdapatnya usaha memerangi keganasan agama demi kestabilan sosial China dengan pewujudan kem-kem besar yang menempatkan etnik terbabit," jelasnya ketika membentangkan laporan rutin berkaitan hak asasi manusia melibatkan China, Hong Kong dan Macau di Geneva pada Jumaat.

Tambahnya Mcdougall, ahli komuniti Uighur dan beberapa masyarakat Islam China mendakwa mereka telah dilayan seperti musuh negara hanya kerana isu etnik dan agama.

Terkini, lebih dari 100 pelajar Uighur yang menuntut di luar negara telah ditahan sekembalinya mereka di China.

Menurut pasukan misi ke PBB dari Amerika Syarikat dalam laman Twitter mendakwa terdapat laporan yang melaporkan berlakunya kekerasan berterusan melibatkan etnik minoriti Uighur dan masyarakat Islam yang berada di wilayah lain di China.

"Kami menyeru kepada China agar menamatkan dasar mereka yang tidak produktif dan membebaskan mereka yang telah ditahan sewenang-wenangnya," menurut kenyataan misi terbabit.

China dalam kenyataan balasnya berkata wilayah Xinjiang berdepan ancaman buruk dari pergerakan militan melibatkan kumpulan pemberontak.

Sementara itu duta China ke PBB, Yu Jianhua ketika bercakap di Geneva, Switzerland berkata republik itu sedang berusaha mengembalikan kesaksamaan dan solidariti kalangan semua etnik.