Perdana Menteri Britain, Theresa May secara rasmi meletakkan jawatan sebagai pemimpin parti konservatif hari ini.

May bagaimanapun akan terus menjadi Perdana Menteri sehingga parti terbabit memilih penggantinya.

Proses pemilihan dalaman parti akan bermula pada Isnin depan.

Beliau mengumumkan peletakan jawatannya dua minggu lalu selepas gagal memujuk ahli Parlimen menyokong perjanjian Brexit yang dicadangkannya.

Ketika ini 11 ahli Parlimen bersedia mengisi kekosongan ditinggalkan May termasuk Menteri Kesihatan, Matt Hancock dan bekas menteri Brexit, Dominic Raab.

Bekas Menteri Luar, Boris Johnson; Menteri Luar, Jeremy Hunt; Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Rory Stewart dan bekas menteri kerja dan pencen, Esther McVey sudah pun mengumumkan pendirian mereka.

May gagal dalam usahanya sebanyak tiga kali untuk mendapatkan kelulusan perjanjian perpisahan yang dipersetujui dengan Kesatuan Eropah (EU) di Parlimen disebabkan perpecahan mendalam dalam Parti Konservatif berhubung Eropah.

Ia bermakna tarikh sebenar Brexit iaitu pada 29 Mac ditangguhkan sehingga 31 Oktober untuk melihat jika ada sebarang perjanjian boleh dicapai.

Semua calon menyatakan keyakinan mereka boleh berjaya dengan membina penyatuan atau meminda perjanjian dilakukan May, walaupun EU berkata ia tidak akan merundingkan semula perjanjian itu.