Pihak polis dan pasukan mencari dan menyelamat pada petang Isnin telah menemui mayat ahli silap mata yang hilang di dalam sungai selepas aksi lagak ngerinya tidak berjaya seperti yang dirancang.

Portal berita NDTV melaporkan, mayat Chanchal Lahiri, 40 tahun, ditemui di dalam Sungai Hooghly, iaitu cabang Sungai Gangga, tempat persembahan umum itu dijalankan.

Pada Ahad, muslihat Lahiri yang mahu membebaskan diri dari situasi mendebarkan itu gagal apabila dia didapati tidak timbul ke permukaan sungai dalam tempoh yang lama.

Sewaktu diturunkan ke dalam sungai itu, kaki dan tangannya diikat serta dibelenggu.

“Mayatnya dijumpai pada lewat petang Isnin, di Sungai Hooghly,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Kolkata, Syed Waquar Raza, kepada AFP.

BACA: Ahli silap mata India cuba tiru aksi Houdini, hilang dalam arus sungai

Lahiri, juga dikenali dengan nama ‘Jadugar Mandrake’, pernah melakukan aksi seumpamanya lebih 20 tahun lalu di lokasi yang sama.

Pada 2013, dia telah mengulang aksi itu dengan berada dalam sangkar berkunci dan ditenggelamkan ke dalam sungai, namun aksi itu dikecam oleh orang ramai kerana ada yang ternampak dia membebaskan diri dari pintu tersembunyi.