“Dia seperti patung. Tangan dan jari-jemari kecilnya terarah ke udara. Saya tarik tubuhnya perlahan-lahan seolah-olah dia masih hidup kemudian memeluknya. Cahaya matahari terkena matanya. Bersinar, namun kaku.”

Kisah sayu itu dikongsi oleh seorang penyelamat yang hanya mahu dikenali sebagai Martin, bertugas di sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jerman, Sea-Watch yang mengendalikan bot penyelamat di laut antara Libya dan Itali.

“Selepas itu, bot saya sunyi. Tidak ada sesiapa yang bersuara. Saya mula menyanyi untuk menenangkan diri,” tambah Martin.

Sea-Watch menyebarkan gambar Martin memangku bayi berkenaan melalui sebuah syarikat media yang mengikuti operasi menyelamat dalam usaha menyebarkan kesedaran mengenai bahaya yang dialami oleh para pelarian dalam usaha tiba ke Eropah melalui jalan laut.

Seperti gambar Alan Kurdi, kanak-kanak Syria berusia tiga tahun yang terbujur kaku di pantai Turki tahun lalu, gambar terbaharu ini menjadi simbol kepada lebih 8,000 pelarian yang maut di laut Mediterranean sejak awal 2014.

Mayat bayi yang kelihatan berusia kurang setahun itu ditarik keluar dari laut Mediterranean pada Jumaat selepas sebuah bot kayu terbalik.

Reuters melaporkan, 135 penumpang selamat manakala 45 lagi maut. Mangsa yang terselamat dan semua jasad tiba di pelabuhan Reggio Calabria di selatan Itali pada Ahad.

“Berikutan beberapa peristiwa dahsyat ini, jelas sekali komitmen yang diberikan oleh para ahli politik Kesatuan Eropah (EU) untuk mengelakkan kematian di laut hanya omong kosong,” tegas Sea-Watch dalam satu kenyataan yang disertakan bersama dengan gambar bayi tersebut.

Sea-Watch turut menyeru negara-negara Eropah agar menyediakan laluan yang sah dan selamat dalam usaha menghalang penyeludupan manusia dan tragedi pada masa akan datang.