Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Suryadharma Ali akhirnya menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan setelah bertemu dengan Presiden dan Naib Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan Boediono di Istana Bogor, Jawa Barat, Indonesia tengah hari tadi.

Menurut laporan Kompas.com, Suryadharma bertemu dengan SBY dan Boediono untuk menjelaskan perkembangan terkini kes penyelewengan dana haji pada 2012-2013 serta membincangkan tentang hal-hal berkaitan Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Sekretaris Negara, Sudi Silalahi dan Menteri Koordinator Kesejahteraan Rakyat, Agung Laksono.

Selain melaporkan perkembangan terkini tentang kes penyelewengan itu, beliau juga, menurut Sudi Silalahi, telah menyatakan hasrat untuk berundur daripada jawatan yang dipegangnya dalam kabinet.

"Beliau telah menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri sebagai Menteri Hal Ehwal Agama," kata Sudi.

Menurut Sudi lagi, hasrat Suryadharma untuk meletakkan jawatan diterima oleh Susilo dan beliau diminta mengajukan hasrat itu secara hitam putih dalam tempoh dua hari.

"Presiden telah menerima laporan dan meminta beliau (Suryadharma) mengajukannya secara bertulis dalam waktu 1-2 hari," tambah Sudi.

Ketika ditanya tentang pengganti Suryadharma sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia yang baru, Sudi menjelaskan bahawa SBY masih belum membuat keputusan tentang perkara tersebut.

"Nanti beliau (Susilo) akan mengumumkan siapa yang akan menggantikan Suryadharma setelah menerima surat perletakan jawatan daripada beliau," ujar Sudi ketika sidang media di Istana Bogor, Jawa Barat, Indonesia.

Pertemuan di antara Suryadharma, Susilo dan Boediono turut membincangkan struktur pemerintahan Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia terutamanya struktur dan perkara yang melibatkan persoalan haji rakyat Indonesia. Suryadharma juga akan memastikan perletakan jawatan beliau ini tidak akan mengganggu proses penyelenggaraan haji tahun ini.

Suryadharma telah dinamakan sebagai suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) bagi kes penyelewengan dana haji yang dikelolakan kerajaan pada 2012-2013 yang melibatkan dana penginapan, katering, dan pengangkutan jemaah haji Indonesia.

Namun, Suryadharma membantah bahawa beliau telah terlibat di dalam kes penyelewengan ini seperti yang telah dinyatakan oleh KPK Khamis lalu.