Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati disenaraikan di tempat ke 78 daripada 100 wanita paling berpengaruh di dunia 2018 oleh majalah Forbes.

Beliau pernah dianugerahkan Menteri Terbaik di Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia atas usaha reformasi yang dijalankannya.

Ia termasuk usahanya meluaskan sistem e-filing bagi pematuhan lebih meluas pembayar cukai di Indonesia.

Sri Mulyani tersenarai di tempat ke 78 daripada 100 wanita paling berpengaruh di dunia.

Selain Sri Mulyani, Isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching turut disenaraikan di tempat ke 17.

Beliau mengemudi syarikat pelaburan strategik Singapura, Temasek sejak 16 tahun lalu dan memperluaskan portfolio syarikat itu kepada 235 bilion dollar.

Selain beliau, wanita dari Asia Pasifik yang turut tersenarai adalah pemilik VietJet Air, Thi Phuong Thao Nguyen.

Merkel dinobat wanita paling berpengaruh di dunia.

Dalam edisi ke 15 senarai itu, Canselor Jerman Angela Merkel dinobat wanita paling berpengaruh di dunia, diikuti Perdana Menteri Britain Theresa May, dan Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di tempat ke tiga.

Selain itu, Forbes melalui laman sesawangnya turut menyenaraikan 20 muka baru termasuk pemain tenis tersohor Serena Williams di tempat ke 79.

Beberapa nama besar industri media dan hiburan turut disenarai antaranya ikon televisyen, Oprah Winfrey (20), Anna Wintour (48), Beyonce (50) dan Taylor Swift (68).

Senarai itu merangkumi wanita dari pelbagai latar belakang yang menyumbang secara signifikan dalam bidang masing masing.