DALAM kesibukan menggalas tugas sebagai menteri, tujuh anggota kabinet Presiden Joko Widodo atau Jokowi masih sempat menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang diberi nama Elek Yo Band.

Penubuhan band ni turut mendapat komen Presiden Jokowi ketika merasmikan mesyuarat dwitahunan di Istana Negara, Jakarta pada Khamis.

"Saya hargai penubuhan kumpulan muzik Elek Yo Band, buruk ya tapi tak mengapa," kata Jokowi, mengundang ketawa menteri dan ketua agensi kerajaan yang hadir.

Dalam dialek Jawa perkataan 'Elek' bermaksud 'jelek'.

Band ini dibarisi Menteri Tenaga Kerja Hanif Dhakiri dan Menteri Perhubungan Budi Karya Sumadi yang bermain gitar akustik, Ketua badan Ekonomi Kreatif Triawan Munaf (keyboard) dan Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono (dram).

Manakala tiga menteri menggalas tugas sebagai penyanyi iaitu Menteri Luar Negeri Retno Marsudi, Menteri Kewangan Sri Mulyani dan Ketua Staf Kepresidenan Teten Masduki.

Elek Yo Band pernah membuat persembahan ketika majlis resepsi anak Setiausaha Negara, Pratikno, di Yogyakarta, hujung tahun lalu, yang turut dihadiri Jokowi.

Di majlis itu, Elek Yo Band mendedangkan lagu yang dipopularkan oleh Iwan Fals yang berjudul 'Bento'.

“Saya kira itu juga menunjukkan bahawa kita memiliki sikap sentiasa bersatu-padu dalam bekerja,” ulas Jokowi selepas Elek Yo Band selesai mengadakan persembahan di majlis resepsi itu.

Pada awalnya Jokowi diletakkan sebagai pemain dram namun kerana kerana tidak sempat mengadakan latihan, tempatnya diganti oleh Basuki Hadimuljono.

"Memang awalnya Pak Jokowi mahu main dram. Tapi sayangnya beliau tidak sempat latihan seperti kami, akhirnya tidak jadi," ujar Teten.

Elek Yo Band mengadakan tiga kali latihan sebelum membuat persembahan di majlis resepsi anak Pratikno dan Teten yakin Jokowi gelisah meliaht persembahan anak buahnya.

"Saya kira, waktu kami membuat persembahan di Yogya, beliau itu sudah gatal kakinya mahu nendang-nendang dram," ujar Teten sambil tertawa.

Teten memberitahu beliau akan memastikan tidak terus dibubarkan dan tidak pula menjadi band yang sentiasa membuat persembahan di mana-mana.

Katanya, Elek Yo Band hanyalah saluran untuk membuang tenaga negatif selama bekerja menjadi menteri.