Seorang pensyarah yang digantung tugas selepas didakwa sengaja menyamar sebagai etnik kulit hitam, telah meletak jawatan.

Dr Jennifer Krug merupakan tenaga pengajar di George Washington University (GWU), sebelum ini direhatkan daripada fakulti.

"Dr Krug telah melepaskan jawatannya, berkuat kuasa serta-merta. Kelasnya untuk semester ini akan diambil alih oleh tenaga pengajar lain, dan pelajar yang terbabit akan dimaklumkan dengan lebih lanjut minggu ini," kata universiti itu dalam satu kenyataan kepada CNN pada Rabu.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Krug, yang merupakan profesor sejarah dalam pengkhususan Afrika dan Amerika Latin.

Pada 3 September lalu, Krug, dalam satu esei di sebuah laman web, mengakui menyamar sebagai berketurunan Afrika Utara dan Afrika-Amerika berasal dari Bronx. Dia sebaliknya seorang wanita kulit putih berasal dari Kansas City.

Sehari selepas esei itu diterbitkan, GWU mengumumkan Krug tidak akan mengajar bagi semester ini sementara universiti menyiasat situasi berkenaan.

Krug kemudiannya meminta maaf atas apa yang disebutnya sebagai "menggunakan identiti kulit hitam untuk kepentingan," dan mengakui ia satu perbuatan tidak beretika serta tidak bermoral.