Mesir dijangka membuka semula pintu sempadan kepada pelancong melalui penerbangan antarabangsa bermula 1 Julai ini.

Menurut Menteri Penerbangannya, Mohamed Manar, segala langkah keselamatan akan dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Kami berharap kami akan beroperasi semula pada 1 Julai dengan segala langkah keselamatan diambil di lapangan terbang bermula dari semua tingkat dan kamera pengesanan suhu yang akan dipasang.

"Ia juga sebagai mesej kepada seluruh dunia bahawa kami bukan sahaja memastikan lapangan terbang kami dalam keadaan selamat tetapi akan menghasilkan langkah keselamatan lain," katanya.

Pada masa sama, kerajaan akan memberi tumpuan kepada beberapa kawasan yang kurang mendapat sambutan susulan pandemik COVID-19 di Sharm el Sheikh, Hurghada, Marsa Alam, dan Marsa Matrouh.

Setakat ini Mesir mencatatkan jumlah kumulatif positif COVID-19 50,437 kes dengan 1,938 kematian.

Untuk rekod, sektor pelancongan merekodkan 12 peratus dari keseluruhan pendapatan sektor demostik dan kerajaan bimbang perintah berkurung yang dikuatkuasakan memberi impak yang lebih buruk terhadap ekonomi negara itu.