Pakar arkeologi Mesir telah membongkar sebuah makam yang menyimpan 50 mumia yang dipercayai dari era Ptolemaic, di Minya, selatan Kaherah.

Reuters melaporkan, penemuan itu dumumkan secara rasmi oleh Kementerian Antikuiti negara itu pada Sabtu.

Kesemua mumia tersebut, termasuk 12 mumia kanak-kanak, dijumpai dalam empat ruang pengebumian yang sedalam 9 meter di tapak sejarah Tuna El-Gebel.

Identiti mumia tersebut masih belum dikethaui, kata Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Anikuiti Mesir, Mostafa Waziri.

Sebahagian daripada 12 mumia kanak-kanak yang ditemui di tapak pengebumian tersebut. - Reuters

“Kami belum menemui nama yang ditulis dalam bentuk hieroglif," ujarnya sambi menambah, berdasarkan kaedah pengawetan jasad-jasad dipercayai bahawa mereka adalah dari kalangan individu berdarjat.

Pelawat, termasuk duta-duta dari beberapa negara, berhimpun di tapak kaji purba berkenaan untuk menyaksikan acara perasmian tersebut. Sejumlah 40 mumia dipamerkan untuk tatapan umum.

Beberapa mumia dilihat dibungkus menggunakan material linen sementara ada yang lain ditempatkan dalam keranda batu atau kayu.

Penemuan arkeologi itu adalah yang pertama dalam tahun 2019 dan diusahakan secara bersama oleh Pusat Pengajian dan Penyelidikan Arkeologi Universiti Minya.