Berita  | Dunia

Mesir dedah penemuan makam kuno yang 'lain daripada yang lain'

Mesir dedah penemuan makam kuno yang 'lain daripada yang lain'
Ketua ekskavasi, Mustafa Abdo, berdiri di salah satu ruangan makam kuno yang dipercayai wujud sejak zaman pemerintahan Firaun Neferirkare Kakai, di selatan Kaherah. - Reuters
SAQQARA: Mesir pada Sabtu mengumumkan tentang penemuan sebuah makam usang berusia 4,400 tahun yang masih dalam keadaan baik, lengkap dengan ukiran hieroglif dan patung-patung kuno, di selatan Kaherah.

Reuters melaporkan, sumber rasmi memberitahu bahawa lebih banyak penemuan dijangkakan apabila pasukan arkeologi terus menjalankan kerja-kerja ekskavasi untuk beberapa bulan seterusnya.

Makam itu tertimbus di bawah runtuhan rabung di kota kompleks pemakaman atau nekropolis Saqqara. Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri, berkata makam itu tidak pernah diceroboh dan tidak pernah berlaku sebarang kecurian.

Mostafa malah menyifatkan makam usang itu ‘sebuah penemuan penting abad ini dan lain daripada yang lain’.
Makam itu dipercayai wujud ketika zaman pemerintahan Neferirkare Kakai, iaitu Firaun ketiga dari Dinasti Kelima kerajaan kuno.

Ukiran hieroglif dan patung-patung Firaun masih dalam keadaan baik di dalam makam itu. - Reuters

Ahli arkeologi pada Khamis berjaya membuat pembersihan fasa akhir makam itu lantas menemui lima laluan atau ruang. Salah satu ruang itu tidak berkunci dan tidak menyimpan sebarang objek, manakala empat lagi tertutup.

Mereka menjangka dapat menemui sesuatu apabila kerja mencari gali disambung pada Ahad.

"Saya tidak dapat membayangkan objek-objek yang dapat ditemui di kawasan ini.

“Ruang ini mungkin menyimpan keranda atau keranda batu pemilik makam,” ujarnya yang optimis tentang salah satu laluan ke ruangan itu.

Makam ini dipercayai wujud ketika zaman pemerintahan Firaun ketiga, Neferirkare Kakai, iaitu dari Dinasti Kelima Kerajaan Mesir Kuno. - Reuters


Tambahnya, makam itu sepanjang 10 meter, selebar 3 meter dan berketinggian sedikit kurang dari 3 meter.
Dindingnya dihiasi ukiran hieroglif dan patung-patung firaun yang masih baik keadaannya.

“Warnanya masih utuh meskipun sudah berusia hampir 4,400 tahun,” katanya yang turut memberitahu, kerja-kerja ekskavasi akan digandakan pada Januari.

Dinasti Kelima memerintah Mesir sejak tahun 2,500 sehingga 2,350 Sebelum Masihi, iaitu tidak lama selepas pembinaan Piramid Besar Giza.

Selama lebih daripada dua milenium, Saqqara berfungsi sebagai nekropolis bagi Memphis, iaitu ibu kota Mesir kuno.

Tag: makam kuno, mesir, kaherah, firaun, saqqara, mumia, patung', sejarah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.