Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-19 yang akan diadakan di Kuala Lumpur esok dijangka membincangkan isu utama berkaitan langkah-langkah pencegahan jerebu di lima negara MSC.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura berkata ia termasuk pelaksanaan Sistem Pemantauan Jerebu Sub-Serantau ASEAN, mobilisasi bantuan serantau dan antarabangsa untuk menyokong usaha memadam kebakaran serta pertukaran maklumat antara negara-negara.

MSC peringkat menteri yang terdiri daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, akan terus mengkaji semula dan meningkatkan langkah-langkah kerjasama untuk memantau, mencegah dan mengurangkan asap jerebu berpunca daripada kebakaran tanah dan hutan di lima negara berkenaan, kata kenyataan itu.

Kementerian itu berkata Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Masagos Zulkifli akan menghadiri mesyuarat itu.

-- BERNAMA