Berita  | Dunia

MH17: Data kotak hitam dimuat turun, tiada bukti ia diusik

MH17: Data kotak hitam dimuat turun, tiada bukti ia diusik
Seorang wartawan sedang merakam imej kotak hitam. Foto EPA
THE HAGUE: Pasukan penyiasat Belanda yang melakukan penyiasatan ke atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 berkata pihaknya sudah memuat turun data dari perakam kotak hitam dan mendapati ia tidak diusik.

“Tiada bukti atau petanda manipulasi alat perakam yang ditemui itu,” kata Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) dalam satu kenyataan.

“Data tersebut berjaya dimuat turun dan perakam itu mengandungi data sah daripada penerbangan berkenaan,” katanya.
Rabu lalu, pihak OVV memaklumkan ia sudah berjaya memuat turun rakaman daripada alat perakam suara kokpit itu.

Alat perakam berkenaan, yang diperoleh daripada serpihan di timur Ukraine, kini dianalisa di ibu pejabat Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB)di Farnborough, di barat daya London.

Pakar AAIB ditugaskan mendapatkan maklumat daripada perakam suara kokpit itu, yang mendedahkan perbualan juruterbang selama beberapa jam.

Kotak hitam itu dihantar ke Farnborough oleh OVV, yang mengetuai penyiasatan antarabangsa berhubung pesawat yang terhempas itu, yang mengakibatkan 298 orang maut, 193 daripada mereka warga Belanda.

OVV juga sedang menyelaraskan pasukan penyiasatan dari lapan negara, termasuk Russia.

Pemberontak pro-Russia yang mengawal kawasan terbabit menyerahkan kotak hitam itu kepada pegawai Malaysia Selasa lalu, berikutan bantahan antarabangsa mengenai cara mereka mengendalikan kawasan serpihan berkenaan serta mayat mangsa.

Kerajaan barat menyatakan segala bukti kini menjurus kepada andaian bahawa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh pemisah pro-Russia.