Pasukan pendakwaraya Belanda berkata ia telah mengenal pasti ‘mereka yang mempunyai kepentingan’ dalam siasatannya berhubung insiden menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia, MH17 tahun lalu.

“Kami mempunyai sekumpulan besar senarai individu di peringkat ini dan kami sedang mengenal pasti ‘mereka yang mempunyai kepentingan’, dimana kami lebih berminat,” kata Ketua Pendakwaraya Belanda, Fred Westerbeke dalam satu sidang media di Rotterdam pada Selasa.

“Tetapi kami belum lagi mengambil langkah rasmi untuk menjadikan mereka suspek,” dia memberitahu wartawan.

Kenyataan dikeluarkan hampir setahun selepas tragedi menembak jatuh pesawat itu dan mengorbankan 298 penumpang di timur Ukrain.

Majoriti yang terkorban adalah warga Belanda.

Belanda telah diberikan tanggungjawab untuk mengetuai siasatan punca dan mengenal pasti mangsa dalam kemalangan yang berlaku pada 17 Julai 2014 itu.

Tambah Westerbake lagi, meskipun banyak kemajuan di dalam siasatan untuk mencari mereka yang bertanggungjawab, kertas kerja untuk membawa hasil siasatan ke muka pengadilan berkemungkinan hanya dapat disiapkan seawal-awalnya hujung tahun ini.