Australia, China dan Malaysia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menghentikan pencarian pesawat Penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang di luar pantai Australia Barat.

Jurucakap Menteri Pengangkutan Australia Warren Truss dalam satu kenyataan di portal berita The Australian hari ini menafikan bahawa ketiga-tiga negara itu telah berbincang untuk menamatkan pencarian pesawat malang itu.

"Perbincangan tersebut bukan untuk menghentikan carian," kata jurucakap itu.

"Perbincangan yang sedang dijalankan adalah berhubung dengan pencarian itu."

Terdahulu, agensi berita Reuters memetik Truss sebagai berkata bahawa pencarian tidak mungkin dapat diteruskan selama-lamanya, dan perbincangan telah diadakan dengan China dan Malaysia sama ada untuk menghentikan operasi dalam beberapa minggu lagi.