Perdana Menteri Australia, Tony Abbott hari ini menegaskan pihaknya tidak akan menghentikan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Mac tahun lalu, malah bertekad akan meneruskan usaha merungkai misteri kehilangan pesawat bersama 239 penumpang dan anak kapalnya itu.

Menurut Abbott, operasi mencari akan diteruskan bersama-sama pihak berkuasa beberapa negara.

"Ia (pencarian) akan diusahakan. Kita telah membelanjakan ratusan juta dolar bagi operasi mencari pesawat itu.

"Saya percaya ia wajar kerana bukan sahaja enam warga Australia berada di dalam pesawat itu tetapi jutaan rakyat Australia adalah pengguna perkhidmatan udara," kata Abott kepada stesen radio Melbourne Radio 3AW hari ini.


Menurutnya lagi, Australia terhutang kepada jutaan mereka yang menggunakan laluan udara negara itu termasuk 24 juta warganya dan akan memastikan laluan udara selamat.

“Penemuan serpihan pesawat di barat Lautan Hindi itu menunjukkan bahawa pesawat itu berakhir hampir di kawasan yang dijangkakan dan untuk kali pertama kita mungkin lebih hampir menyelesaikan misteri ini," katanya.

VIDEO: Sidang akhbar pengesahan serpihan pesawat di Pulau Reunion sah milik MH370

FOTO: Debaran sekitar pengumuman Perdana Menteri flaperon milik MH370

BACA: Serpihan di Pulau Reunion sah milik MH370. Apa yang telah diketahui


Misteri kehilangan pesawat MH370 kembali menjadi tumpuan selepas seorang pekerja pantai menemui serpihan pesawat yang menyerupai sayap pesawat di Pulau Reunion Julai lalu.

MH370, map

Selepas diteliti pihak penyiasat di Perancis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi tadi mengumumkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion itu adalah daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Penerbangan MH370 hilang sejak 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China dengan 239 penumpang dan anak kapal.