Rakyat India pada Selasa sama-sama mendoakan semoga satu-satunya mangsa terselamat dalam runtuhan salji Siachen yang mengorbankan sembilan askar, dekat utara Kashmir, segera sembuh.

Lans Koperal Naik Hanumanthappa Koppad diselamatkan lewat malam tadi, selepas tertimbus dalam runtuhan selama hampir enam hari, setelah kem mereka terletak di kawasan setinggi 19,600 kaki, dilanda runtuhan salji pada 3 Feb.

Anggota tentera itu diterbangkan dari kawasan insiden awal pagi Selasa, dan dimasukkan ke Hospital Penyelidikan & Rujukan Tentera India di New Delhi.

Perdana Menteri Narendra Modi melawat askar itu di hospital dan doktor memberitahu Modi bahawa Jawan (askar) terbabit masih dalam keadaan koma dan menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Tiada kata yang dapat menggambarkan daya ketahanan dan semangat waja Lans Koperal Naik Hanumanthappa. Beliau seorang askar yang cekal," kata Modi dalam kenyataan media yang dikeluarkan pejabat beliau Selasa.

Selama enam hari, Hanumanthappa Koppad tertimbus di bawah runtuhan ais sedalam 25 kaki dengan suhu mencecah hampir minus 40 darjah, dan malam Isnin pasukan penyelamat menjumpai beliau dalam "khemah Artik" dengan keadaan tidak sedarkan diri dan nadi yang lemah.

Askar-askar terbabit terperangkap sejak 3 Feb, dan setakat ini pasukan mencari dan menyelamat telahpun menemui lima mayat.

Leftenan Jeneral SK Patyal yang dihubungi oleh saluran berita NDTV berkata dengan suhu antara minus 40 dan 25 darjah, pasukan penyelamat terpaksa mengharungi ribut salji yang kerap berlaku dan melakukan usaha mencari dengan jarak penglihatan yang terhad.

Glasier Siachen merupakan medan tempur yang paling tinggi dan sejuk di dunia.

Lebih ramai askar telah menemui ajal di kawasan itu, daripada di medan pertempuran disebabkan cuaca dan keadaan laluan yang sukar.

Sekurang-kurangnya 869 pegawai dan askar mati di kawasan berkenaan sejak pertengahan 1980-an.