Kerajaan Mongolia telah menggantung operasi kesemua restoran makanan segera KFC setelah pelanggannya didakwa mengalami keracunan makanan.

Setakat ini, sejumlah 42 pelanggannya dilaporkan terpaksa menerima rawatan, manakala lebih 100 pelanggan menunjukkan tanda-tanda keracunan makanan selepas melanggani sebuah restoran KFC pada minggu lepas.

Menurut Agensi Pemeriksaan Profesional Metropolitan, pemeriksaan awal menujukkan perkara ini terjadi akibat pembiakan bakteria pada bekalan air restoran itu.

Tambah jurucakap agensi berkenaan, sejumlah 247 orang telah melaporkan tanda-tanda keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah.

Portal berita Reuters melaporkan, seorang wakil restoran itu melalui satu emel berkata pihak KFC menyesali insiden yang berlaku dan meminta maaf kepada pelanggannya.

Wakil itu turut berkata KFC akan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"KFC di Mongolia akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaannya dalam menjalankan penyiasatan untuk menentukan punca sebenar kejadian tersebut," ujarnya.