RIBUAN rakyat Zimbabwe turun ke jalanan di ibu negara Harare untuk mendesak Presiden Robert Mugabe mengundur diri.

Penunjuk perasaan turut memberi sokongan kepada anggota tentera negara terbabit yang terlibat dalam operasi pemindahan kuasa yang juga disifatkan sebagai rampasan kuasa.

Sehingga kini, Mugabe masih belum letak jawatan.

Namun, kedudukan pemimpin berusia 93 tahun itu semakin goyang dengan kehilangan sokongan rakyat, sementara parti pemerintah Zanu-FP turut mendesaknya undur diri.

Mugabe dilaporkan telah diletak di bawah tahanan rumah sejak Rabu oleh pihak tentera.

Beliau membuat kemunculan di khalayak umum untuk sementara pada Jumaat bagi memberi ucapan di sebuah universiti.

Perbincangan kini tertumpu kepada langkah-langkah yang boleh diambil untuk membenarkan Mugabe berundur secara bermaruah, tanpa mencetuskan sebarang ketidakstabilan politik.