Hasrat sekumpulan murid sekolah rendah di Bengkayang, Kalimantan Barat, Indonesia yang berpakaian comot dan cuma meminta bantuan beg sekolah, mendapat perhatian istimewa Presiden Joko Widodo.

Portal berita Kompas melaporkan, sekolah rendah di daerah terpencil itu dikejutkan dengan kedatangan sekumpulan konvoi motosikal lasak yang membawa lebih daripada yang dimahukan.

Presiden Joko yang mesra dipanggil sebagai Jokowi itu dilaporkan telah mengirimkan bantuan tersebut melalui setiausaha peribadinya.

Difahamkan, pasukan yang menghantar bantuan itu memulakan perjalanan mencabar sejak 6 April lalu ke Bengkayang yang jauh di kawasan pedalaman.

"Presiden telah menonton video itu dan terus mengarahkan setiausaha peribadinya untuk mengirimkan bantuan,” lapor Kompas yang memetik kata Pegawai Perhubungan Johan Budi Saotopribowo.

Konvoi bermotor melalui perjalanan mencabar untuk membawakan bantuan di Bengkayang. - Foto: Facebook Nophie Kurniawati.

Ternyata, bukan hanya beg sekolah yang dihantar. Jokowi juga mengirimkan buku tulis, pen, pensil, pemadam, pembaris, penajam pensil, bahan bacaan bergambar, krayon, bekas pensil, bekas makanan, sandal getah dan juga set seragam sekolah termasuk topi dan tali leher.

Lebih 600 set bantuan seumpamanya juga dibawakan untuk keperluan murid-murid sekolah rendah di beberapa sekolah lain di sekitar Bengkayang.

Setiap bantuan tersebut juga disertakan bendera Indonesia, bahan bacaan tambahan, kapur, pemadam papan hitam, peta dunia dan papan alas menulis.

Semua bantuan itu dibahagikan serentak pada Isnin, 10 April.

Seorang pengguna media sosial, Nophie Kurniawati telah memuat naik gambar ketibaan bantuan tersebut, bersama gambar murid-murid yang gembira dengan peralatan dan seragam baharu itu.

Selain berterima kasih dengan keprihatinan Jokowi, Nophie sempat juga menyelitkan mesej: "Mudah-mudahan selepas ini ketua pegawai daerah, datuk bandar dan gabenor dapat memberi perhatian seumpamanya kepada pelajar-pelajar di daerah terpencil. Jangan hanya peduli ketika tiba pilihan raya sahaja."