Sebuah kereta merempuh sekumpulan pelajar sekolah rendah di timur laut China hari ini, mengakibatkan lima terbunuh dan 18 lagi cedera.

Kejadian berlaku ketika kanak-kanak terbabit sedang melintas jalan di Huludao dalam wilayah Liaoning.

Susulan itu, polis telah menahan pemandu kereta terbabit dan sedang menyiasat punca kejadian.

Video ngeri mengenai kemalangan itu telah tersebar di media sosial, memaparkan kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum melayang dan masuk ke arah laluan bertentangan, sekali gus merempuh kumpulan kanak-kanak terbabit.

Satu lagi video memaparkan dua kanak-kanak kecil terbaring dan berlumuran darah di bahu jalan.

Kemalangan maut berpunca daripada kecuaian kerap berlaku di China.

Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 13 orang maut selepas sebuah bas terbabas ke dalam gaung di wilayah Chongqing, selepas pemandu bas malang tersebut bertengkar dengan salah seorang penumpangnya.

Pada September lalu, 11 orang terbunuh selepas sebuah kereta hilang kawalan dan merempuh pejalan kaki di dataran awam di pusat bandar Hengdong.