Keluarga budak lelaki Afghanistan yang meraih perhatian sedunia di internet selepas bergambar dengan ‘jersi’ yang dibuat daripada beg plastik untuk menyamai warna jersi wira bola sepaknya, Lionel Messi, kini terpaksa meninggalkan kediamannya.

Murtaza Ahmadi dan keluarganya perlu berbuat demikian berikutan ancaman serangan Taliban, lapor Reuters.

Murtaza yang kini berusia 7 tahun, menjadi tumpuan media sedunia dua tahun lalu apabila abangnya menyarungkan tubuhnya dengan beg plastik berjalur putih dan biru yang mirip warna jersi Argentina, selain tertulis nama Messi dan nombor 10.

Menjadi sensasi di media sosial, ‘kemasyhuran’ itu telah membawa tuah kepada Murtaza apabila bintang bola sepak pujaannnya itu sendiri telah menitipkan barangan peribadi kepadanya.

BACA: Tak mampu beli, kanak-kanak Afghan pakai 'jersi Messi' beg plastik

BACA: Lionel Messi hantar hadiah kepada budak Afghan memakai 'jersi' plastik

‘Kemasyhuran’ itu juga datang bersama beban masalah bagi Murtaza dan keluarganya yang merupakan etnik minoriti Hazara di daerah Jaghori, di wilayah Ghazni.

"Murtaza menjadi terkenal di seluruh dunia, dan kami tidak dapat lagi keluar berjalan dengan bebas ke mana sahaja, Murtaza dan anak-anak saya yang lain tidak boleh ke sekolah.

“Apabila malam menjelma, beberapa orang yang meragukan mundar-mandir berdekatan rumah kami.

“Dan apabila Taliban menyerang kampung, kami membuat keputusan untuk melarikan diri,” keluh ibunya, Syafiqa Ahmadi, ketika ditemui di kediaman mereka di Kabul.

Bagaimanakah nasib Murtaza dan keluarganya jika terpaksa meninggalkan kediaman merelka?

Ghazni, yang jauhnya kira-kira dua jam pemanduan ke selatan Kabul, menjadi lokasi pertempuran sengit tahun ini. Taliban secara amnya telah menguasai kawasan bandar Ghazni pada Ogos.

Jaghori juga menjadi tempat pertempuran yang tegang, mengakibatkan ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

"Sekarang keadaan tak selamat dan saya takut hendak keluar rumah,” kata Murtaza. “Saya hanya mahu jadi pemain bola seperti Messi dan saya hendak kembali ke sekolah.”