JUTAWAN Amerika Syarikat Elon Musk akhirnya telah meminta maaf kepada penyelam Britain Vern Unsworth kerana menggelarnya sebagai pedofil.

Permohonan maaf dibuat menerusi Twitter beberapa jam selepas Unsworth berkata mahu mengheret Musk ke mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu mengakui, dia berada dalam keadaan marah ketika mengeluarkan kenyataan berkenan terhadap Unsworth Ahad lalu.

Menurut Musk, kritikan Unsworth terhadap kapal selam mini yang dihantarnya bagi membantu operasi menyelamat 13 mangsa yang terperangkap di Gua Tham Luang, di Chiang Rai, Thailand, amat mengguris hatinya.

Namun, dia mengaku, dia tidak sepatutnya mengeluarkan tuduhan yang mengaibkan Unsworth itu.

Tweet berkenaan telah dipadamkan, namun ia menjejaskan saham Tesla yang merudum hampir tiga peratus pada Isnin.