Muzium Louvre yang popular di bandar raya Paris akan ditutup pada Jumaat untuk menyelamatkan semua karya pameran yang diletakkan di ruang rizab bawah tanahnya berikutan paras air Sungai Seine yang melimpah, lapor AFP.

“Tujuan penutupan itu adalah untuk membolehkan kerja-kerja pemindahan hasil seni dari ruang yang cenderung untuk berlaku banjir.

"Semua karya seni itu akan diselamatkan dengan dialihkan ke aras yang lebih tinggi,” ujar kenyataan yang dikeluarkan muzium tersebut.

Bangunan muzium yang menempatkan pelbagai hasil seni teragung dunia itu menjadi mercutanda popular di bandar raya tersebut yang terkenal dengan jolokan nama ‘Kota Cinta’.

Lokasinya di pinggir Sungai Seine memerlukan tindakan pengurusan risiko seumpama itu pada keadaan-keadaan tertentu.

Di muzium berkenaan, hampir 35,000 objek prasejarah hingga ke zaman kurun ke-21 dipamerkan di kawasan pameran seluas 60,600 meter persegi.

Ia memiliki jabatan kurator yang bertanggungjawab memulihara barangan berharga dari tamadun Mesir kuno, Greek, Rom dan Islam selain arca, seni dekoratif, cetakan dan lukisan.

Louvre mencatatkan rekod sebagai muzium yang menerima paling banyak kunjungan selepas Muzium Istana di Beijing, China.

Setiap tahun, muzium itu menerima kunjungan sekitar 9 juta pelawat.