Tutup

Berita  | Dunia

Muzium peringati kes kanak-kanak terperangkap dalam gua Chiang Rai giat disiapkan

Muzium peringati kes kanak-kanak terperangkap dalam gua Chiang Rai giat disiapkan
Sebelas daripada 12 kanak-kanak itu kini menjalani rutin sebagai sami pelatih sebagai penghormatan untuk Saman. - Gambar fail
BANGKOK: Pekerja pembinaan Thailand pada Khamis memulakan kerja-kerja membangunkan  sebuah muzium bagi memperingati misi menyelamat sekumpulan kanak-kanak yang terperangkap di dalam gua di Chiang Rai, Thailand.

Selain untuk memperingati peristiwa yang dialami pasukan bola sepak itu, muzium berkenaan juga bakal dijadikan lokasi penghormatan istimewa untuk seorang penyelam yang terkorban nyawa saat menjalankan misi tersebut.

Kesemua 12 kanak-kanak lelaki, 11 hingga 16 tahun, dan jurulatih mereka yang berusia 25 tahun, hilang pada 23 Jun lalu ketika meneroka kompleks gua tersebut.

Mereka hanya dapat diselamatkan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR)  selepas lebih dua minggu terperangkap. Pasukan penyelam profesional berpengalaman tempatan dan antarabangsa telah berganding bahu menyelamatkan mereka dalam misi yang berlangsung selama 3 hari.
BACA: Mangsa gua Tham Luang buat kemunculan umum pertama

BACA: Penghormatan terus mencurah atas kejayaan menyelamatkan mangsa terperangkap dalam gua

Kerja-kerja membina muzium itu bermula selepas upacara tradisional Buddha dijalankan pada Rabu di Gua Tham Luang. Mengikut kepercayaan mereka, upacara itu adalah untuk meminta ‘restu’ daripada ‘semangat’ lokasi tersebut.

Muzium yang dijangka mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan dan menelan belanja sebanyak 10 juta Baht (RM1.2 juta) itu, ditaja oleh seorang seniman Thailand, Chalermchai Kositpipat.
"Kawasan ini akan membawa keuntungan kepada negara kita, kerana ia menghingatkan pada kerjasama antarabangsa dan wira yang telah mengorbankan nyawanya. Pelancong dari seluruh dunia akan mengunjungi tempat ini,” ujar Chalermchai.

Penyelam Thailand, Saman Kunan, maut selepas tidak sedarkan diri semasa misi menyelamat berlangsung.

Tugu patung Saman yang sedang dibentuk oleh pengarca, akan ditempatkan di hadapan muzium tersebut.

Mural sepanjang 13 meter juga akan dipamerkan di situ, yang antara lain mengetengahkan pasukan penyelam British yang menemui kumpulan kanak-kanak itu,

Sebelas daripada 12 kanak-kanak itu kini menjalani rutin sebagai sami pelatih sebagai penghormatan untuk Saman. Pada Sabtu, mereka akan meninggalkan kuil untuk menjalani kehidupan biasa semula.

BACA: Remaja terperangkap di Gua Tham Luang 'hidup' seperti sami selama sembilan hari