Myanmar mengetatkan langkah keselamatan di pintu masuk termasuk di sempadan dan lapangan terbang dalam usaha untuk menghalang pengganas menyusup ke negara itu, lapor agensi berita Xinhua, memetik agensi berita Myanmar.

Naib Presiden Pertama U Myint Swe memaklumkan perkara itu, pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Pemantauan dan Perlindungan Orang Asing (FMPCC) di Nay Pyi Taw pada Selasa.

Langkah itu, berikutan serangan pengganas di Rakhine baru-baru ini, merosakkan industri pelancongan negara dan ia memerlukan kerajaan bertindak meningkatkan kawalan keselamatan di setiap pintu masuk.

Gelombang keganasan terbaharu pada Ogos lepas, berlaku di Maungtaw dan Buthidaung, Rakhine menyebabkan pasukan keselamatan Myanmar bertindak balas dan ramai penduduk tempatan terpaksa melarikan diri.

Naib Presiden itu turut mengarahkan pemeriksaan ketat dilakukan terhadap orang luar yang ingin memasuki negara, sambil melindungi pelawat luar, diplomat, kakitangan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu dan organisasi bukan kerajaan.

Beliau berkata, kawalan terhadap orang yang disenarai hitam dan pengganas hanya dapat dilakukan melalui penilaian serta penelitian yang tepat.

Pada Jun 2016, Myanmar membentuk FMPCC dengan keanggotaan seramai 19 pegawai untuk menjalankan tugas meneliti individu asing yang memasuki negara itu selain melindungi mereka.

Terdapat empat pintu keluar masuk antarabangsa di Myanmar iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, Mandalay dan Nay Pyi Taw serta Pelabuhan Antarabangsa Thonawa Yangon, selain 23 pintu sempadan.

-- BERNAMA