JURUTERBANG pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas tidak menjalani latihan penerbangan dengan mesin simulasi baru untuk Boeing 737 MAX 8.

Laporan eksklusif Reuters menyebut bahawa rakan kapten pesawat itu memberitahu, Yared Getachew, 29 tahun yang terkorban dalam nahas tersebut dijadual menjalani latihan dengan mesin simulasi itu pada penghujung Mac, dua bulan selepas Ethiopian Airlines menerimanya.

Sumber yang tidak mahu dikenali turut memberitahu Reuters, Boeing tidak menghantar manual penerbangan bagi mengendali sistem Sistem Peningkatan Ciri Pemanduan (MCAS), ubahsuai automatik baru kepada model terbaru itu.

Dalam dua nahas penerbangan melibatkan pesawat Boeing itu, MCAS diaktifkan semasa juruterbang berlepas, mengarahkan jet berkenaan menjunam dan juruterbang hilang kawalan pesawat.

BACA: Nahas Ethiopian Airlines: Kotak hitam dedah suara panik juruterbang

BACA: Negara mana yang telah gantung pesawat Boeing 737 MAX 8?

BACA: Nahas Ethiopian Airlines: 149 penumpang, 8 kru pesawat disahkan terkorban

Bagaimanapun, Ethiopian Airlines memaklumkan, juruterbang mereka sudah melengkapkan latihan yang disaran Boeing dan diluluskan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).

Sementara siasatan nahas dilengkapkan pihak berkuasa, hampir kesemua syarikat penerbangan, termasuk Malaysia Airlines, menggantung penggunaan pesawat tersebut.