Kumpulan 16 pelajar sekolah yang terlibat dalam nahas pesawat Germanwings pada Isnin hampir terlepas penerbangan itu kerana seorang daripada mereka tertinggal pasport.

Pelajar program pertukaran di Sepanyol ini adalah antara penumpang yang maut susulan pesawat Airbus 320 yang mereka naiki terhempas di pergunungan Alps Perancis pada Isnin.

Kumpulan pelajar itu, termasuk dua orang guru, adalah dari sekolah Joseph-Koenig di Haltern, barat Jerman.

Menurut laporan media, kumpulan pelajar itu sedang dalam perjalanan pulang setelah menjalani program pertukaran dan kursus bahasa Sepanyol selama seminggu di Llinars de Valles, berhampiran Barcelona.

Ketika berada di stesen kereta api, seorang daripada pelajar itu tersedar yang passport miliknya tiada di dalam bagasi.

Namun malang tidak berbau apabila keluarga angkatnya di Barcelona menawarkan diri untuk menghantar pasport dan pelajar itu sekali terus ke lapangan terbang.

“Ini adalah situasi yang paling teruk yang tidak dapat dibayangkan,” kata Datuk Bandar Haltern am See, Bodo Klimpel pada satu sidang media.

Terdahulu wujud khabar angin bahawa beberapa pelajar berkenaan telah terlepas pesawat kerana beberapa rakan mereka terlupa membawa pasport.

Namun perkara ini dinafikan datuk bandar Llinars del Valles tempat kumpulan pelajar itu menginap yang mengesahkan kesemua pelajar itu telah meninggalkan penginapan mereka untuk menaiki kereta api ke lapangan terbang El Prat di Barcelona.

Menurut laporan, kebanyakan pelajar yang terkorban terdiri daripada kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 16 tahun.