Puak Taliban mengaku bertanggungjawab menembak jatuh helikopter dalam kejadian yang meragut nyawa enam termasuk isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan.

Dalam satu kenyataan emel oleh pihak Taliban, mereka secara terang-terangan menyatakan bahawa sasaran sebenar ialah perdana menteri Nawaz Sharif.

"Helikopter itu ditembak jatuh peluru berpandu anti-pesawat, membunuh juruterbang dan duta asing," kata satu kenyataan berbahasa Urdu dihantar oleh jurucakap utama mereka Muhammad Khurasani.

Namun, kenyataan itu belum lagi mendapat pengesahan pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan awal, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa pesawat yang dinaiki Nawaz berada di kawasan Gilgit, namun berpatah balik ke Islamabad sebaik sahaja menerima berita tentang nahas tersebut.

BACA Isteri duta Malaysia ke Pakistan maut dalam nahas helikopter

Datin Habibah Mahmud yang merupakan isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar diberitakan menyertai konvoi tiga helikopter yang membawa delegasi diplomat asing dan bantuan ke Gilgit di wilayah bergolak Kashmir.

Helikopter yang dinaikinya bersama lima yang lain dilaporkan merempuh sebuah sekolah di utara Pakistan ketika mendarat cemas.

Dilaporkan sekolah berkenaan ditutup ketika kejadian.