Tutup

Berita  | Dunia

Nahas Pesawat Lion Air: Tragedi ada hikmah dari Allah SWT.. - keluarga

Nahas Pesawat Lion Air: Tragedi ada hikmah dari Allah SWT.. - keluarga
Keadaan memilukan apabila keluarga meratapi pemergian Rudi, salah seorang penumpang pesawat Lion Air JT-610 yang terhempas ke dalam laut. Foto: Kompas.com
HATI isteri mana yang tidak meronta-ronta apabila mengetahui suaminya terlibat dalam kejadian nahas.

Itulah realiti yang perlu dihadapi oleh Dewi Manik apabila suaminya, Rudi Lumbantoruan adalah salah seorang penumpang pesawat Lion Air JT-610 yang terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta pada pagi Isnin.

Perasaan itu lebih memilukan buat Dewi apabila pasangan ini baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11 pada 28 Oktober lepas.

Dewi akui, sebelum mendapat kesahihan daripada pihak berkuasa, dia sudah dapat merasakan perkara buruk berlaku sejurus selepas berita itu tersebar.
LAPOR LANGSUNG: Nahas pesawat Lion Air

BACA: Nahas Lion Air JT610: Kebanyakan mangsa tersangkut pada kerusi pesawat
BACA: Nahas Lion Air JT610: Jokowi arah siasat punca kejadian



Memetik laporan portal Kompas.com, dia yang kali terakhir berjumpa dengan suaminya pada Ahad terus meratapi tragedi yang menyebabkan nyawa suaminya itu mungkin terkorban. 

Ternyata, bukan hanya si isteri meratapi pemergian Rudi. Malah ahli keluarga dan keluarga mertua tidak dapat menahan sebak saat menerima berita memilukan itu.

Bagi ibu bapa mertua Rudi, Ramlan Manik dan Tiala Boru, mereka berharap tragedi yang berlaku ini adalah mukjizat dari Tuhan.

“Rudi sempat memberikan hadiah buat adik iparnya yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Dia juga ada berkata, ‘ini hadiah untuk kamu, mana tahu abang tidak dapat datang pada majlis kamu’.

“Kami percaya, tragedi yang berlaku ini pasti ada hikmah dari Allah SWT, semoga Rudi selamat,” kata Ramlan seperti yang dilapor Kompas.com.

Pada Selasa, sebanyak 24 beg berisi jenazah penumpang pesawat Lion Air JT 610 telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.



Kesemua mangsa daripada pesawat yang terhempas di perairan Tanjung Karawang itu dihantar ke Hospital Polis Republik Indonesia di Tanjung Priok.

Menurut Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), pihaknya percaya kebanyakan mangsa tidak timbul kerana terikat pada kerusi pesawat.