Ada pandangan awam mempertikaikan cara mengangkut warga negara asing pulang dari China yang dilanda malapetaka selsema akibat penularan 2019 n-CoV yang bermula sejak hujung tahun lalu.

Bukankah mengurung penumpang – sehingga 300 atau lebih dalam perut pesawat mengundang penularan yang lebih mudah kerana udara yang dihirup dikongsi bersama?

Bagi jawabnya, sila ke laman FB Malaysia Airlines yang memberi pencerahan bagaimana udara dalam pesawat lebih segar dan bersih berbanding keadaan yang umum hadapi di pejabat sendiri di paras bumi.

Melalui satu tampalan pada 31 Januari, Malaysia Airlines mengeluarkan kenyataan dari pengeluar pesawatnya bahawa udara yang dihirup dalam kabin dikitar setelah ditapis menggunakan penapis khas yang mampu menapis dengan rapi udara yang mengandungi pelbagai partikel. Penapis ini dipanggil 1High-Efficiency Particulate Air (HEPA) filter’.

Tapisan ini bermakna penumpang tidak menghirup udara yang berkemungkinan mengandungi bakteria mahupun virus yang berlegar di dalam perut pesawat.

Namun, Malaysia Airlines tetap memberi nasihat agar penumpang sentiasa mengambil langkah kebersihan termasuk kerap membasuh tangan, bersin dan batuk bukan dengan cara menyembur kepada orang lain dan menggunakan kertas tisu atau sapu tangan bagi tujuan mengawal semburan.

Gambar rajah yang disediakan menunjuk bagaimana udara dari luar pesawat pada suhu bawah beku disedut melalui bilah kipas enjin, menjadi panas akibat proses pembakaran dan seterusnya disejukkan kepada suhu yang bersesuaian.

Udara ini kemudian melalui proses penapisan dan rawatan dalam kebuk pemprosesan (mixing manifold), dicampurkan dengan 50 peratus kandungan udara yang sedia ada dalam pesawat yang dikitar semula, dan seterusnya disalurkan ke dalam perut pesawat.

Kitaran terjadi apabila 50 peratus dari udara yang sudah digunakan disalur semula ke mesin rawatan HEPA sementara 50 peratus lagi dilepaskan melalui saluran eksoz.

Proses kitaran udara dalam perut pesawat berjalan antara 20 hingga 30 kali dalam sejam bermakna udara bersih dihirup setiap dua minit.

Malaysia Airlines turut memuatkan gambar rajah perbezaan kitaran udara yang berbeza dalam pesawat seperti Boeing 777, 737 dan Airbus A330 berbanding Airbus A380 miliknya yang menggunakan proses yang sama.

Sistem pengedaran udara dalam pesawat menggunakan spesifikasi yang tinggi dan tertumpu kepada zon yang kecil – antara tujuh dan lapan barisan bagi setiap zon. Ini bermakna, udara bersih mampu dinikmati secara berkongsi antara kumpulan yang kecil yang memberi tahap keselesaan tinggi serta menentukan kualiti kebersihan setinggi mungkin.