Seorang bapa di Afghanistan menamakan anaknya Donald Trump, dengan harapan anak ketiganya itu akan membawa tuah kepada keluarganya.

Ya benar, semasa bayi itu dilahirkan, bapanya, Asadullah Poya terus terfikirkan tentang Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 itu.

Ini kerana Poya pada ketika itu baru selesai membaca buku bertajuk 'Trump: How to Get Rich' yang diterbitkan pada 2004 dan selepas itu siri realiti 'The Apprentice' mula menjadi hit di seluruh dunia.

Semasa anaknya itu dilahirkan pada Ogos 2016, Poya terkejut melihat warna rambut anaknya itu yang keperang-perangan dan terus menamakan bayi itu sebagai Donald Trump.

Kedua ibu dan bapa Poya bagaimanapun tidak bersetuju dengan pemilihan nama itu dan imam di kampungnya juga pernah mendedikasikan khutbah Jumaat khas kerana nama itu yang dianggap sebagai menghina.

Poya kemudian mengambil keputusan berpindah ke Kabul, namun Trump tetap tidak disukai di sana.

Penduduk di kawasan kejiranan baru juga tidak senang dengan nama tersebut dan meminta tuan tanah menghalau Poya dan keluarganya.

Mereka juga menyelar tindakannya kerana tidak menamakan bayi tersebut dengan nama Islam.

Poya juga dituduh sengaja menamakan anaknya Donald Trump kerana berhajat menjadi pelarian di Amerika Syarikat.

Namun Poya tekad tidak mahu meninggalkan negaranya dan dia juga tidak pernah mengimpikan nama anaknya itu menjadi popular.

Lebih parah apabila pihak berkuasa tempatan memuat naik gambar kad identiti anaknya di laman Facebook dan Poya terus menerus menerima cemuhan masyarakat setempat.

Walaupun berdepan pelbagai cemuhan, Poya tetap berhajat ingin bertemu Trump satu hari nanti dan sekiranya dikurniakan rezeki memperoleh cahaya mata keempat dan ianya perempuan, bayi tersebut akan dinamakan dengan nama anak Donald Trump.