Apabila Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk, yang berlangsung di Pyeongchang, Korea Selatan melabuhkan tirainya pada pertengahan Mac, ia merupakan petanda bahawa keamanan singkat yang dinikmati di Semenanjung Korea telah berakhir, kata pakar hal ehwal serantau.

Pengarah Penyelidikan Institut Cannon bagi Penyelidikan Global, Kunihiko Miyake, percaya selepas temasya sukan yang berlangsung empat tahun sekali itu berakhir, Korea Utara akan meneruskan provokasinya di kawasan tersebut, sekali gus menamatkan mod beralah jiran mereka di bahagian selatan.

"Kita terpaksa menunggu kerana tidak mahu sebarang peperangan semasa Sukan Olimpik. Namun selepas itu, saya percaya Korea Utara akan meneruskan eksperimen mereka, mungkin mengambil kesempatan apabila Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menyambung semula latihan bersama mereka," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Pada awal tahun ini, AS dan Korea Selatan telah bersetuju untuk menangguhkan latihan ketenteraan mereka semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk atas permintaan Seoul.

Persetujuan itu dicapai beberapa minggu selepas ketegangan semakin meningkat berhubung program senjata nuklear Korea Utara dan ujian peluru berpandu jarak jauhnya, lapor media.

Miyake berkata tindakan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, untuk beralah kepada Korea Utara sebelum dan semasa Sukan Olimpik, boleh difahami namun Seoul akan menamatkannya tidak lama lagi dan meneruskan semula tekanan ke atas Pyongyang bersama-sama rakan seperjuangannya iaitu AS dan Jepun.

"Ini adalah satu tindakan untuk kegunaan politik domestik. Beliau (Presiden Moon) fikir beliau boleh menguruskannya -- mencari keseimbangan antara beberapa kuasa. Saya tidak rasa mereka boleh namun mereka akan berbuat demikian sehingga temasya sukan itu berakhir," kata bekas diplomat.

Para pegawai Jepun yang ditemui penulis bersama-sama sekumpulan pemberita semasa berkunjung ke negara itu berkata mereka berharap Korea Selatan tidak akan "tertipu" bahawa Korea Utara sudah bersedia untuk mengadakan satu dialog yang nyata dan ikhlas serta menghentikan pembangunan nuklear dan peluru berpandunya hanya kerana negara yang dikenali sebagai kerajaan pertapa itu telah menghantar atletnya ke Sukan Olimpik.

Miyake berkata meskipun tindakan beralah itu mempunyai risiko paling sedikit berbanding pilihan lain terhadap Korea Utara, beliau mengesyorkan agar tekanan maksimum dikenakan terhadap Pyongyang -- lebih daripada sekatan ekonomi namun kurang sedikit berbanding serangan bersenjata.

"Jika dasar beralah itu tidak berjaya, kita perlu berdepan dengan kebenaran apabila Korea Utara melengkapkan tahap primitif ICBM (peluru berpandu balistik antara benua), dan tahap primitif bom nuklear dengan kepala peledak di atasnya. AS perlu bertindak balas kerana ia bakal menjadi isu keselamatan tanah air AS dan bukan isu keselamatan Asia Timur."

Beliau turut berkata debat atau dialog dengan Pyongyang bukan satu pilihan ketika ini kerana ini akan memberikan negara itu lebih banyak masa untuk menyiapkan pembangunan senjata nuklear dan ICBMnya.

Miyake turut memberi dua alasan kenapa Korea Utara tidak boleh diterima sebagai antara negara yang memiliki senjata nuklear, pertama kerana Korea Utara mungkin tidak mampu dihalang daripada menjalankan ujian nuklear dan kedua, kerana terdapat kemungkinan berlaku penyebaran senjata nuklear ke negara lain dan kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Daesh.

Seorang lagi pakar, Pengarah Program Keselamatan dan Pengajian Antarabangsa Institut Graduan Nasional bagi Pengajian Polisi (GRIPS), Profesor Narushige Michishita, tidak bersetuju dengan pandangan itu dan percaya Korea Utara akan kekal tenang secara relatif selepas Sukan Olimpik susulan sekatan terkini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa tindakan Korea Utara tidak boleh diramal dalam sebarang situasi.

"Apa yang saya belajar selepas mengkaji mereka dalam tempoh yang lama ialah untuk tidak meramalkan tindakan Korea Utara pada masa akan datang," kata penulis buku Kempen-Kempen Ketenteraan dan Diplomatik Korea Utara dari 1966 hingga 2008.

Ditanya jika beliau setuju bahawa Korea Selatan sedang ditipu oleh jirannya di bahagian utara, Michishita berkata beliau percaya Seoul "amat mengenali" Pyongyang dan akan terus cuba dan terlibat dalam dialog antara Korea untuk mengelak diketepikan daripada sebarang insiden yang membabitkan Semenanjung Korea.

" Kami (Jepun) perlu terus menyokong peranan Korea Selatan, namun pada masa yang sama, kami perlu mengingatkan mereka agar tidak terlalu mempercayai taktik Korea Utara," katanya.

Ujian nuklear terkini (yang keenam) Korea Utara mempunyai kekuatan letupan kira-kira 160 kiloton, berbanding kurang sekilo ketika ujian pertamanya pada Oktober 2006, kata Michishita.

Kumpulan pemantau AS menyatakan ujian itu mempunyai kekuatan 250 kiloton, jauh lebih tinggi berbanding anggaran rasmi.

Sebagai perbandingan, insiden pengeboman Hiroshima pada Ogos 1945 mempunyai kekuatan 15 kiloton.

Temasya Sukan Olimpik Pyeongchang berlangsung dari 9 hingga 25 Feb manakala Sukan Paralimpik dari 9 hingga 18 Mac 2018.

Menjelang temasya itu, kedua-dua negara Korea berjaya mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi pertama mereka dalam tempoh dua tahun.

Korea Selatan tampil di bawah satu bendera dengan Korea Utara ketika sesi pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Selain mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, Korea Utara bakal membuat penampilan sulung di Sukan Paralimpik Musim Sejuk di Pyeongchang.

Menurut laporan media, Pyongyang telah bersetuju menghantar delegasi 150 anggota yang terdiri daripada atlet, kumpulan penyorak, sebuah kumpulan kebudayaan dan pemberita ke Sukan Paralimpik Musim Sejuk Pyeongchang.

-- BERNAMA