BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) umum pengunduran anggotanya dari Afghanistan bermula 1 Mei.

Ia susulan Amerika Syarikat untuk berbuat demikian bermula pada tarikh sama dengan pengunduran sepenuhnya dijadualkan selesai menjelang 11 September.

BACA: Undur dari Afghanistan: Tiba masanya tamat perang paling panjang - Biden

Menurut setiausaha agungnya, Jens Stoltenberg, pengunduran akan melibatkan 7,000 anggota.

Pengunduran dijangka selesai dalam tempoh beberapa bulan.

"Hari ini kami memutuskan berhubung masa depan kami di Afghanistan.

"Kami berada di Afghanistan selama hampir 20 tahun berdasarkan Artikel 5 perjanjian bagi menyokong Amerika Syarikat susulan serangan pengganas pada 11 September.

"Kami sudah membayar harga yang tinggi. Ribuan anggota dari negara pakatan sudah berkorban dengan begitu banyak," kata Stoltenberg.

Keputusan ini dibuat selepas beberapa rundingan dengan Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin di Brussels.

NATO dan AS bagaimanapun memberi jaminan akan terus memberi sokongan dari segi pertahanan kepada Afghanistan selepas proses pengunduran selesai.