Dua warga emas yang merupakan sahabat dan jiran, bukan sahaja duduk minum bersama tetapi sering 'berbalah' di gelanggang.

Constant Ngubane, 79 tahun dan Gladys Ngwenya, 77 tahun merupakan ahli Pasukan A di salah sebuah gimnasium dekat Johannesburg yang mana sekumpulan nenek berlatih tinju dua kali seminggu.

Menurut Ngubane, sejak dia mula melakukan aktiviti tinju, tahap kesihatannya semakin meningkat.

"Sukan tinju menjadikan saya cergas. Sebelum ini, setiap kali saya membuat pemeriksaan kesihatan, bacaan tekanan darah saya selalu tinggi.

"Sejak (bertinju) saya rasa lebih kuat dan semakin cergas," katanya.


Terdapat banyak kajian dibuat termasuklah oleh Persekutuan Jantung Amerika Syarikat yang mendapati sukan aerobik sangat bermanfaat dalam menurunkan tekanan darah malah mengurangkan risiko penyakit kencing manis serta masalah jantung.

Jurulatih mereka, Claude Maphosa melakukan aktiviti tinju itu sebagai salah satu aktiviti riadah tanpa membabitkan pertembungan fizikal.

Dia yang merupakan bekas atlet seni mempertahankan diri campuran berpendapat sukan tinju amat berkesan dalam melengkapkan aktiviti sosial semasa latihan.

"Ia amat berjaya dalam mengeluarkan individu ini daripada zon selesa mereka malah sukan tinju juga peluang terbaik untuk menambah kenalan baru," katanya yang menyediakan latihan tinju secara percuma kepada pesara sebagai langkah sokongan dalam meningkatkan kecergasan warga tua serta keupayaan mempertahankan diri.

Dalam pada itu, Ngwenya pula mengakui, selain menambah ilmu seni mempertahankan diri, sukan tinju amat menyeronokkan.

"Saya suka tinju, saya rasa seronok apabila mengetahui bahawa jika seorang pencuri atau penjenayah cuba melakukan sesuatu, saya bersedia untuk mempertahankan diri, jadi saya rasa lebih selamat, terima kasih kepada Claude.

"Disiplin yang diterapkan (dalam sukan tinju) juga meningkatkan keyakinan diri saya," katanya lagi.