Berita  | Dunia

Netanyahu 'tak malu' sertai perhimpunan solidariti Perancis - Akhbar Israel

Netanyahu 'tak malu' sertai perhimpunan solidariti Perancis - Akhbar Israel
Apabila Netanyahu menolak nasihat itu, kerajaan Perancis dikatakan pantas bertindak menjemput Mahmud Abbas untuk menyertainya, lapor akhbar Israel, Haaretz. - Foto AFP
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu digelar 'tidak tahu malu' oleh media Israel apabila berkeras mahu menyertai perhimpunan solidariti memperingati mangsa-mangsa dua insiden keganasan yang meragut 17 nyawa di kota Paris minggu lalu pada Ahad.

Perancis dilaporkan sebelum itu telah menasihatkan Netanyahu agar tidak menyertai perhimpunan itu dimana nasihat yang sama turut diberikan kepada Presiden Palestin, Mahmud Abbas.

Ia dibuat bagi mengelakkan perhimpunan yang dihadiri lebih satu juta orang itu dicampur aduk dengan agenda konflik Asia Barat yang dihadapi oleh kedua-dua belah pihak.
Apabila Netanyahu menolak nasihat itu, kerajaan Perancis dikatakan pantas bertindak menjemput Mahmud Abbas untuk menyertainya, lapor akhbar Israel, Haaretz.

Akhbar itu juga berkata, Netanyahu juga dibimbangi akan membuat ucapan politik yang dikaitkan dengan pilihan raya Israel pada Mac depan.

Permintaan untuk Netanyahu agar tidak menyertai perarakan datangnya dari Penasihat Keselamatan Perancis, Jacques Audibert.

Netanyahu juga membuat keputusan hadir selepas mendengar khabar beberapa pemimpin pembangkang Israel akan turut serta dalam perhimpunan itu.

Tindakan itu, lapor akhbar itu membangkitkan kemarahan Presiden Hollande dan ini jelas sewaktu satu upacara berasingan memperingati mangsa di sebuah pasaraya Yahudi di Paris dimana sejurus Netanyahu menuju ke pentas untuk berucap, Hollande dilihat meninggalkan majlis itu.

Tindakan itu turut dibidas beberapa akhbar lain di Israel yang menyifatkannya sebagai ‘amat memalukan’ dan 'Netanyahu tidak malu'.

Perancis membangkitkan kemarahan Israel bulan lalu apabila mengundi untuk menyokong draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung kewujudan negara Palestin.

Resolusi  itu bagaimanapun gagal mendapat sembilan undi yang diperlukan. Susulan itu Israel telah memanggil duta Perancis untuk melahirkan bantahan.