Netherlands menyertai beberapa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain yang membantah cadangan Parlimen blok itu mengenakan sekatan ke atas minyak sawit.

Malah, tegas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Kerjasama Netherlands, Sigrid Kaag, negara itu tidak menyokong sebarang langkah diskriminasi atau perbezaan produk.

Sehubungan itu, beliau menggesa satu dialog membabitkan isu minyak sawit itu diadakan.

"Tiada siapa pun yang harus dihukum dan alternatifnya perlu ada. Kita perlu membincangkan perkara ini secara teratur supaya semua pihak dapat memahami sepenuhnya keadaan di peringkat tempatan dan apa yang boleh dilaksanakan oleh pembangunan pasaran global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Seminar Pendekatan Belanda Terhadap Inovasi dan Pembangunan Berteknologi Tinggi di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Usul Parlimen EU pada 17 Januari lepas menggesa supaya minyak sawit dikeluarkan daripada program biobahan EU menjelang 2020 atas alasan ia menyebabkan pembasmian hutan.

Setakat ini, Perancis, Sweden dan United Kingdom (Ahli Parlimen Konservatif, sebahagian daripada parti pemerintah Perdana Menteri, Theresa May) telah menyatakan bantahan terhadap usul berkenaan.

Mengulas selanjutnya, Kaag berkata Netherlands turut memuji usaha Malaysia melaksanakan peralihan minyak sawit ke arah lestari tanpa menjejaskan kepentingan para pekebun kecil.

"Pembangunan lestari adalah antara (perkara) yang menguntungkan semua pihak. Tidak boleh wujud pihak yang menang atau kalah dan perlu memutuskannya secara bersama," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata beliau, Kaag dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong akan bertemu esok bagi membincangkan isu itu dengan lebih lanjut.

"Ini merupakan industri penting kepada kita dan tidak mahu sebarang diskriminasi ke atas minyak sawit.

"(Soal) lestari sememangnya amat penting bagi kita," katanya.

Sejak setahun lepas, Parlimen Eropah yang menuduh pengeluar minyak sawit sebagai punca pembasmian hutan, telah mengundi sebanyak dua kali bagi menyokong usul itu yang jika dilaksanakan akan mengekang import minyak sawit ke blok ekonomi itu.

Pada bulan lepas, anggota Parlimen Eropah itu mengundi untuk mengharamkan sepenuhnya minyak sawit dalam biobahan api menjelang 2021 manakala pada April, 2017, mereka menggesa EU untuk melarang penggunaan minyak sayuran yang menyebabkan pembasmian hutang menjelang 2020.

Selain itu, Mustapa berkata pertemuannya dengan Kaag juga menyentuh mengenai kemungkinan memulakan semula Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU pada tahun ini selain perkembangan baharu pelbagai hala.

Beliau berkata, usaha menghidupkan semula rundingan itu yang terbantut pada 2012, tercetus sewaktu kunjungannya ke Netherlands pada Oktober lepas.

Tanpa menyatakan tarikh atau tempoh bagi memulakan semula rundingan itu, Mustapa berkata dua faktor utama penyebab usaha itu - pemuktamadan FTA antara EU dengan negara-negara lain di rantau ini serta kehadiran banyak syarikat Eropah di Malaysia.

"Ini memberi alasan untuk memulakan semula FTA Malaysia-EU," katanya.

Mengulas perkara sama, Kaag pula berkata Netherlands menyokong penuh usaha itu bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaatnya.

"Dalam dunia yang menyaksikan dasar perlindungan menjejaskan dagangan secara terbuka dan bebas, adalah penting untuk kita terus membincangkan pejanjian perdagangan bebas demi kepentingan EU dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, perjanjian itu perlu menghasilkan situasi yang menguntungkan semua pihak selain kemampanan untuk negara terbabit.

"Usaha bersama bagi mencapai agenda lebih besar juga sama pentingnya dan kita hanya dapat melakukannya secara bersama atas dasar berkongsi agenda dan hasil yang dipersetujui bersama," katanya.

Pada 2017, perdagangan Malaysia dengan Netherlands mencecah RM34.8 bilion dengan 77.4 peratus disumbangkan oleh eksport.

Eksport Malaysia ke Netherlands juga meningkat sebanyak 22.7 peratus manakala imports menokok 11.7 peratus.

Dari perspektif pelaburan, Malaysia telah meluluskan sejumlah 337 projek bernilai RM27.3 bilion yang turut disertai syarikat Belanda setakat September 2017, sekali gus menjadikan Netherlands sebagai pelabur kedua terbesar EU selepas Jerman.

Pelaburan itu membabitkan sektor utama seperti elektrikal dan elektronik, produk petroleum, pengeluaran makanan, bahan kimia dan produk berasaskannya.

Selain Pusat Perkhidmatan Perniagaan Global bernilai RM3.18 bilion yang diwujudkan oleh Shell di ibu negara, beberapa syarikat Belanda turut memilih Malaysia sebagai pejabat peringkat rantau mereka termasuk Benchmark Electronics, Mylaps BV dan Kraton Polymers BV.

-- BERNAMA