HANYA 50 peratus daripada tanah Netherlands berada di atas paras laut dan kejadian banjir yang besar sering berlaku sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Dengan mengambil kira aspek penerimaan hujan yang semakin banyak dan kenaikan paras air laut dunia akibat pemanasan global, orang Belanda kini mendahului dari aspek kejuruteraan pengurusan air, lapor portal PRI.org.

Seorang profesor dalam sistem urbanisasi dan pengurusan banjir dari IHE Delft Institute, Chris Zevenbergen berkata, Netherlands sedang dalam fasa transisi.

“Kita sedang berdepan dengan ketidakpastian dalam aspek perubahan iklim dan pembangunan sosioekonomi,” ujarnya yang menambah bahawa manusia tidak akan sentiasa dapat mengawal aturan alam semula jadi.

Sepuluh tahun lalu, Netherlands membangunkan konsep ‘ruang untuk sungai’.

Konsep yang disifatkan sebagai anjakan paradigma itu adalah dengan memberi ruang yang lebih banyak untuk air dan membenarkan sungai untuk berkembang apabila air memasuki negara itu.

Sebelumnya, mereka hanya membina banyak sekatan sungai dan mengukuhkan benteng sepanjang sungai.

Maka, pendekatan terbaharu adalah ‘hidup bersama air, bukannya berlawan dengan air’.

Selain pembinaan sistem pintu masuk air, orang Belanda telah lama memikirkan kaedah terbaik dalam pelan tindak balas umum sekiranya berlaku banjir. - Foto: rijkswaterstaat.nl

Tanah rendah

Sebahagian besar Netherlands adalah kawasan tanah rendah yang ditambak dari laut dan dilindungi benteng penahan air. Kawasan-kawasan seumpamanya merangkumi bandar-bandar besar di negara itu.

Negara itu kini mempertimbangkan cara-cara untuk memperlahankan proses pembangunan di kawasan tanah rendah, seterusnya membangunkan sistem amaran yang lebih berkesan supaya orang awam serta pihak bertanggungjawab lebih bersedia sekiranya berlaku banjir sebenar.

“Kami sifatkan langkah itu sebagai perlindungan, pencegahan dan persediaan,” ujar Zevenbergen.

Bandar-bandar dunia kini menggunakan taman-taman dan ruang awam sebagai kawasan takungan setiap kali menerima hujan lebat. Bagi kenaikan air laut pula, mereka mengubah pendekatan – daripada sistem pertahanan, kepada kaedah yang bersedia untuk menampung kegagalan sistem-sistem awal itu.

Ia dinamakan sebagai ‘perlindungan pelbagai peringkat’.

Peringkat pertama adalah sistem perlindungan banjir yang meliputi sistem benteng pertahanan awal. Peringkat kedua adalah perancangan tindak balas umum.

Perancangan tindak balas umum digunakan orang awam dan sektor swasta untuk mempengaruhi pengurusan pergerakan penduduk dan aktiviti di ruang-ruang berskala besar. Secara ringkas, ia adalah koordinasi amalan dan polisi.

Netherlands telah membina sistem perlindungan banjir hingga ke tahap peluang kegagalan adalah satu dalam 10,000. Itu disifatkan Zevenbergen sebagai sistem paling ketat di planet ini.

Menurutnya, walaupun kemungkinannya agak rendah, namun kesannya amat besar memandangkan dua per tiga ekonomi Netherlands terletak di kawasan rendah yang boleh ditenggelami air tersebut.

Senario antarabangsa

Zevenbergen juga telah mengembara ke seluruh dunia, memberi khidmat nasihat kepada bandar-bandar utama dunia tentang kaedah menghadapi banjir. Begitupun, beliau mengenal pasti dua cabaran besar.

Pertama adalah memikirkan cara untuk melindungi bandar-bandar berpopulasi tinggi yang sedia wujud.

Sebagai contoh, di China, sementara kawasan baharu yang dibina semuanya berdepan masalah banjir, mereka mengembangkan mekanisme atau kaedah yang peka pada air. Ini memandangkan usaha transformasi ketahanan banjir di kawasan-kawasan urban yang sedia ada boleh mengambil tempoh sekurang-kurangnya satu hayat generasi.

Cabaran kedua terletak pada bandar-bandar bersaiz kecil dan sederhana di Afrika dan Asia.

"Semua bandar-bandar itu sedang membangun dengan pesat, namun tidak mempunyai kapasiti untuk membangun secara mampan, iaitu menumpukan tentang ancaman daripada sungai-sungai, kenaikan paras air laut dan curahan hujan," jelas Zevenbergen.

Nasihat terbaik Zevenbergen untuk bandar-bandar yang berdepan ancaman banjir akibat hujan lebat, kenaikan air laut mahupun impak ribut adalah: “Beri perhatian serius pada situasi semasa dan sistem perlindungan.”

Ternyata di Netherlands, mereka tidak bertindak balas hanya apabila bencana banjir sudah berlaku. Sebaliknya, mereka membuat persiapan sepanjang masa untuk menjangkakan kejadian banjir.