Umberto Eco, penulis novel The Name of the Rose (Le Nom de la Rose) meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Eco yang turut dikenali sebagai seorang ahli akademik pernah bertanggungjawab dalam penghasilan karya-karya besar meninggal dunia selepas bertarung dengan barah sejak beberapa tahun lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhis pada kira-kira jam 9.30 malam Jumaat, lapor portal La Repubblica.

Dikenali sebagai salah seorang penulis agong sastera moden Itali, Eco dilahirkan pada 5 Januari, 1932 di Alessandria, sebuah daerah di utara Piedmont.

Nama keluarga Eco merupakan singkatan perkataan Latin (ex caelis oblatus) yang bermaksud, ‘hadiah dari syurga’ dan diberikan kepada datuknya oleh seorang pegawai bandaraya.

Eco dibesarkan dalam persekitaran Roman Katolik dan mendapat pendidikan di salah sebuah institut Salesian.

Bapa beliau lebih menggalakkannya untuk mengambil jurusan perundangan, namun Eco berdegil dan mengambil keputusan untuk mendalami filosofi zaman pertengahan dan sastera di Universiti Turin.

Pada penghujung 1950-an, Eco mula memperkenalkan idea semiotik yang berkaitan dengan isyarat termasuk dalam penulisan, saintifik dan bahasa artistik.

Eco dilantik sebagai profesor semiotik di Universiti Bologna pada tahun 1970 dan berjaya menerbitkan naskhah tentang teori-teorinya.

Beliau berjaya menambat hati peminat sastera dalam tahun 1980 selepas menerbitkan ‘The Name of The Rose’.

Umberto Eco

Novel misteri yang berlatarbelakangkan Zaman Pertengahan di Gereja Itali itu berjaya menggabungkan semiotik, analisis agama, pengetahuan pertengahan dan teori sastera.

Ianya diadaptasi ke layar perak oleh Jean-Jacques Annaud pada 1986 dan menampilkan nama-nama besar termasuk Sean Connery dan Christian Slater. ‘The Name of the Rose’ berjaya terjual berjuta naskhah di seluruh dunia.

Eco yang aktif menghasilkan kerja akademik turut diraikan dengan terbitan lain beliau termasuk, ‘Foucault’s Pendulum’ (1988), ‘The Island of the Day Before’ (1994), ‘Baudolino’ (2000) dan ‘The Prague Cemetery’ (2010).