Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kerajaan Iraq merancang untuk menganjurkan satu persidangan awal, di Baghdad pada 11 Disember, sebelum mengambil langkah seterusnya dengan mengadakan Persidangan Perdamaian Kebangsaan Iraq.

Dalam satu kenyataan hari ini, OIC berkata, persidangan awal berkenaan bertujuan mengetengahkan idea dan cadangan kepada persidangan agung perdamaian itu nanti sebagai usaha membina perdamaian dalam kalangan pelbagai kumpulan dan segmen masyarakat di Iraq.

"Persidangan perdamaian akan diadakan pada masa Iraq beransur pulih daripada ancaman keganasan, selepas pembebasan semua wilayah Iraq daripada Daesh.

"Ia dibuat pada masa sesuai untuk meneruskan perdamaian nasional komprehensif, yang membawa kepada fasa baharu, sesuai dengan fasa pembinaan, perpaduan nasional, kestabilan dan kemakmuran," kata OIC dalam kenyataan disiarkan di laman webnya.

Persidangan awal itu akan dihadiri teknokrat terkenal daripada pelbagai latar belakang intelektual, kebudayaan dan komuniti.

Sebelum ini, pada 2006, OIC pernah menganjurkan Persidangan Makkah 1, mengenai Perdamaian Kebangsaan Iraq, merangkumi syeikh dan sarjana agama, yang mewakili pelbagai lapisan rakyat negara itu.

-- BERNAMA